KENYATAAN MEDIA BERSAMA [BERKENAAN INISIATIF MASYARAKAT SIVIL UNTUK MENUNTUT ASET BEKU] (9 MAC 2018): Pulangkan Dana Yang Dibekukan Kepada Rakyat Malaysia Sebagai Benefisiari Sebenar

Minggu lepas telah menyaksikan perbualan hangat mengenai projek 1 Development Malaysia Berhad (1MDB) berhubungan dengan penyitaan kapal pesiar milik Jho Low, ‘Equanimity’ dalam suatu usaha kerjama antara Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) dengan pihak polis Indonesia. Walaupun media antarabangsa telah mewarwarkan perkembangan ini dalam siasatan tuduhan penggubahan wang haram melalui 1MDB, pihak berkuasa di Malaysia masih gagal untuk bertindak ke atas tuduhan 1MDB dan korupsi.
Di Switzerland, CHF 104 juta (dianggarkan sebanyak RM 430 juta) telah dibekukan, sementara kes mahkamah terhadap bank-bank yang terlibat dalam penggubahan wang haram tersebut masih berterusan. Pihak kami telah menerima khabar daripada Menteri Kewangan Switzerland bahawa dana yang telah dibekukan itu sudah dimasukkan ke dalam khazanah negara Switzerland kerana tiada pihak yang menuntut dana tersebut dalam tempoh yang diberikan.
Walaupun begitu, ahli-ahli parlimen Switzerland yang menyokong inisiatif ini akan mengemukakan satu usul di parlimen Switzerland untuk memulangkan sebahagian daripada dana tersebut kepada negara asalnya.
Inisiatif Masyarakat Sivil Malaysia yang diumumkan pada 15 November 2017 mendesak Jabatan Kementerian Kewangan Persekutuan Switzerland dan badan Pengawalseliaan Kewangan Switzerland (FINMA) untuk memulangkan dana yang telah dibekukan yang dirampas oleh pihak berkuasa Switzerland kepada benefisiari sebenar dana tersebut melalui satu tabung amanah bebas.
Kami, BERSIH 2.0 dan Pusat C4 mencadangkan supaya dana tersebut disalurkan kembali ke Malaysia melalui satu tabung amanah seperti Yayasan Bota di Kazakhstan. Sekiranya dana tersebut berjaya dikembalikan, dana tersebut harus diurus oleh satu badan bebas yang terdiri daripada wakil kumpulan yang berlainan. Pengurusan yayasan itu harus menggunakan proses yang telus, serta bertanggungjawab kepada masyarakat awam berkenaan cara dana tersebut disalurkan semula kepada rakyat Malaysia.
Tanpa sebarang tindakan daripada pihak kerajaan sedia ada dan agensi-agensinya terhadap pihak yang membolehkan dan menerima faedah daripada penggubahan wang haram melalui 1MDB, pemulangan dana kepada pihak yang sama langsung tidak munasabah. Pemimpin-pemimpin masakini juga adalah sebahagian daripada sistem yang dibelenggu kerakusan dan korupsi. Sememangnya, sikap kerajaan dalam hal tuduhan pengubahan wang haram melalui 1MDB amat bermasalah.
Bermula dengan penyingkiran Peguam Negara, dan kemudiannya memberikan kekebalan kepada Perdana Menteri Najib Razak oleh Peguam Negara yang seterusnya, institusi-institusi demokratik yang bertujuan melindungi kepentingan awam seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan badan kehakiman telah gagal memberi tindakbalas yang sepatutnya berkenaan isu 1MDB. Malah, permintaan Peguam Negara Switzerland untuk bantuan kerjasama dalam penyiasatan 1MDB pada April 2017 langsung tidak mendapat jawapan oleh pihak berkuasa Malaysia. Tambahan pula, usaha untuk membawa isu ini ke mahkamah di Malaysia, serta cadangan usul di Parlimen juga telah ditolak tanpa bahas.
Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan telah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) (SOSMA) kerana disyaki mencuba ‘mensabotaj ekonomi’ kerana melobi kerajaan luar untuk menyiasat tuduhan rasuah dan penyelewengan 1MDB.
C4 Center dan BERSIH 2.0 mendesak ahli-ahli parlimen Switzerland untuk meneliti cadangan Masyarakat Sivil Malaysia untuk menyalurkan kembali dana yang dibekukan tersebut kepada rakyat secara langsung, apabila membincangkan usul pemulangan dana tersebut pada minggu depan.
Dikeluarkan oleh:
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (Pusat C4)
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)
Global Bersih