MUAT TURUN PDF BERSAMA LAMPIRAN
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH2.0) mengecam tindakan Perdana Menteri, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dan Ahli-ahli Parlimen yang menyokong usul persempadanan semula kerana meluluskan dan mewartakan laporan kajian persempadanan semula secara tergesa-gesa minggu lepas.
BERSIH2.0 berpendapat bahawa pembentangan, kelulusan, dan pewartaan laporan kajian persempadanan semula adalah tidak mematuhi prosedur kerana SPR masih belum menyelesaikan siasatan tempatan kedua di Selangor. Isu ini kini dicabar di Mahkamah Shah Alam oleh 107 plaintif yang mewakili lebih 10,000 pengundi.
Di samping itu, laporan persempadanan semula mengandungi syor yang akan menjejaskan lagi integriti sistem pilihan raya kita. BERSIH 2.0 dengan ini ingin mengetengahkan 7 isu-isu berikut:
(1) Mengekalkan dan menambahrosak pembahagian tidak sekata
Dalam menjalankan persempadanan semula di bawah Artikel 113 (2) Perlembagaan Persekutuan, SPR adalah diwajibkan untuk mengurangkan pembahagian tidak sekata dan memastikan bahawa jumlah pengundi di Kawasan Pilihan Raya adalah “lebih kurang sama” sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 2 (c), Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.
SPR telah gagal dalam perkara ini dengan mengekalkan dan memburukkan lagi pembahagian tidak sekata secara tidak sah melalui proses persempadanan semula. Kecuali negeri Perlis, Terengganu, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, nisbah antara Kawasan Parlimen terkecil dan terbesar di negeri-negeri lain adalah melebihi 2 kali ganda. Nisbah ini juga menjadi lebih teruk selepas proses persempadanan semula di beberapa negeri – Selangor (dari 3.94 hingga 4.05), Johor (dari 3.05 ke 3.17), Kedah (dari 2.53 to 2.70), dan Melaka (dari 2.17 hingga 2.50) – dan ini menunjukkan penghinaan SPR terhadap Perlembagaan Persekutuan. (rujuk Lampiran 1)
SPR juga telah memburukkan lagi pembahagian tidak sekata dengan mewujudkan Kawasan-kawasan Pilihan Raya yang bersaiz terlalu besar (‘super-sized’). Selepas persempadanan semula, sepuluh Kawasan Parlimen terbesar mempunyai saiz yang terdiri daripada 108,156 hingga 150,439 pengundi, jauh melebihi purata negeri (rujuk Lampiran 2). Kawasan-kawasan Pilihan Raya ini diwujudkan dengan memadatkan pengundi-pengundi yang kebanyakannya mengundi pembangkang semasa pilihan raya yang lepas.
(2) Menidakkan demokrasi dengan memenangkan pihak yang kalah
Impak pembahagian tidak sekata bukan sahaja pelanggaran prinsip “satu orang, satu undi” di seluruh negara, tetapi ia juga melemahkan demokrasi dengan mengangkat pihak yang kalah jika pembahagian tidak sekata dikaitkan dengan prestasi pilihan raya. Apabila pilihan dan mandat pengundi dalam menentukan wakil rakyat/parlimen dan kerajaan terjejas, legitimasi dan kesahihan seluruh sistem politik akan terpersoal, lalu melemahkan kestabilan politik dan ekonomi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada tahun 2013, gabungan Barisan Nasional (BN) hanya memenangi 47% undi popular tetapi ini adalah bersamaan dengan 60% Kawasan-kawasan Pilihan Raya. Perkara ini berlaku kerana pembahagian tidak sekata, dan Kawasan-kawasan Pilihan Raya yang dimenangi oleh BN adalah jauh lebih kecil daripada Kawasan-kawasan Pilihan Raya yang dimenangi oleh pihak pembangkang, Pakatan Rakyat.
Berdasarkan jumlah pengundi yang digunakan dalam proses persempadanan semula di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, Kawasan-kawasan Pilihan Raya yang dimenangi oleh BN pada tahun 2013 mempunyai purata 48,228 pengundi, manakala Kawasan-kawasan Pilihan Raya yang dimenangi oleh pembangkang mempunyai purata hampir dua kali ganda, iaitu 79,436. Ini bermakna BN boleh kembali berkuasa tanpa undi majoriti.
Memandangkan 112 Kawasan Pilihan Raya terkecil merangkumi hanya 33% daripada jumlah pengundi, majoriti mudah (simple majority) parlimen secara teorinya boleh tercapai dengan hanya 16.5% undi popular. Angka ini mungkin lebih rendah dalam pertembungan pelbagai penjuru (‘multicornered’). (Rujuk Lampiran 3)
(3) Gerrymandering bersifat partisan
BERSIH 2.0 juga telah mengesan percubaan untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya di Kawasan-kawasan Pilihan Raya yang marginal, dengan memindahkan daerah-daerah mengundi berdasarkan pola pengundian.
Sebagai contoh di Melaka, lima daerah mengundi yang mempunyai sokongan kuat terhadap pembangkang telah dipindahkan dari P137 Bukit Katil (sebuah Kawasan Pilihan Raya marginal) ke P138 Kota Melaka (Kawasan Pilihan Raya kuat pembangkang). Simulasi semula keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 berdasarkan pola pengundian yang sama dan dengan yang sempadan baru, menunjukkan bahawa P137 Bukit Katil akan beralih dari sebuah Kawasan Pilihan Raya pembangkang menjadi Kawasan Pilihan Raya kerajaan. (rujuk Lampiran 4)
Kejadian gerrymandering yang sama, terutamanya yang melibatkan pemadatan penyokong pembangkang ke kawasan-kawasan pilihan raya yang besar, juga ditemui di beberapa negeri lain seperti Perak, Selangor, dan Johor. Analisa awal menunjukkan bahawa ini akan memberi kesan yang besar terhadap beberapa kawasan parlimen marginal di seluruh negara.
(4) Gerrymandering Berdasarkan Etnik
Dalam satu wawancara dengan New Straits Time pada 29 Mac 2018, Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah menyatakan bahawa etnik adalah salah satu kriteria yang dipertimbangkan semasa persempadanan semula.
BERSIH 2.0 mengecam dan menolak pemanipulasian bangsa dan etnik dalam sistem pilihan raya kita dan penjejasan hubungan tempatan. Tindakan SPR dan Tan Sri Hashim yang mengabaikan syarat-syarat untuk persempadanan semula yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutua adalah menyalahi undang-undang, mendiskriminasi, dan tidak bermoral.
Dalam menganalisis laporan akhir persempadanan semula, SPR sememangnya telah menjalankan pemindahan pengundi berdasarkan etnik. Ini telah menghasilkan 15 Kawasan-kawasan Pilihan Raya yang sebelum ini adalah bersifat majmuk (‘mixed constituensies’); tetapi dengan persempadanan semula, mereka diubah menjadi 8 kawasan dominan Melayu dan 7 kawasan dominan Cina. (rujuk Lampiran 5)
(5) Pengecualian 59% kawasan-kawasan parlimen daripada persempadanan termasuk seluruh Perlis, Pulau Pinang dan Pahang
SPR menyatakan bahawa persempadanan semula dilakukan berdasarkan demografi dan perubahan penduduk dari masa ke masa disebabkan oleh pembangunan. Tetapi pada masa yang sama, SPR telah gagal mengesyorkan sebarang perubahan (sama ada tiada perubahan langsung dalam Syor 1 atau semua perubahan yang disyorkan ditarik balik dalam syor terakhir) bagi negeri-negeri Perlis, Pulau Pinang (untuk Kawasan-kawasan Pilihan Raya Negeri dan Parlimen) dan Pahang (untuk Kawasan-kawasan Parlimen).
Pengecualian Pulau Pinang dan Pahang jelas tidak adil dari segi prinsip perlembagaan “pembahagian lebih kurang sama”. Dalam laporan akhir, SPR menyatakan bahawa jumlah pengundi di Pulau Pinang telah meningkat sebanyak 31.6%, iaitu dari 659,155 pengundi sejak persempadanan semula pada tahun 2003 kepada 867,748 pengundi pada tahun 2015. Begitu juga jumlah pengundi di Pahang meningkat sebanyak 33.5% iaitu dari 554,321 pengundi pada tahun 2003 kepada 740,023 pada tahun 2015. Penetapan sempadan yang sama telah mengekalkan pembahagian tidak sekata yang teruk di Pahang dan Kawasan-kawasan Pilihan Raya Negeri di Pulau Pinang, dengan nisbah terbesar-kepada-terkecil adalah 2.93 di Pahang dan 3.27 kali ganda di Pulau Pinang.
Secara keseluruhannya, 96 daripada 164 Kawasan-kawasan Parlimen yang sepatutnya dikaji semula (tidak termasuk Putrajaya dan Labuan) masih mempunyai sempadan yang sama seperti asal. Pengecualian Kawasan-kawasan Pilihan Raya ini berlaku walaupun 20 daripadanya adalah >33.33% lebih kecil (piawaian perlembagaan 1962) daripada purata negeri, dan 7 daripadanya adalah >33.33% lebih besar daripada purata negeri. (Rujuk Lampiran 6)
Kesannya, hak pengundi-pengundi di negeri-negeri ini untuk mempunyai perwakilan dan hubungan tempatan yang lebih baik telah diabaikan. Memandangkan persempadanan semula hanya boleh dilakukan sekurang-kurangnya setiap 8 tahun, pengundi di Pulau Pinang dan Pahang terpaksa menggunakan sempadan Kawasan-kawasan Pilihan Raya yang lama (berdasarkan persempadanan semula tahun 2003) selama 23 tahun kerana kegagalan dan ketidakcekapan SPR.
(6) Proses Siasatan Tempatan Palsu dan Pengitaran Semula Syor Pertama
10 kawasan Parlimen di Selangor, Kuala Lumpur dan Kedah menggunapakai Syor 1 yang telah digugurkan selepas pusingan pertama siasatan tempatan.
Ini bermakna SPR telah bersetuju dengan pembantah bahawa Syor Pertama mereka telah dirancang dengan teruk; akan tetapi, badan yang sama telah mengambil semula syor-syor yang dibuangnya. Yang paling mengejutkan, perubahannya tidak berdasarkan sebarang bantahan yang kukuh. (rujuk Lampiran 7)
(7) Kegagalan PM Membentangkan Laporan Syor Persempadanan Semula untuk Sabah
Berhubungan dengan negeri Sabah, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah meminda Perlembagaan Negeri pada tahun 2016 untuk menambah 13 kawasan DUN baru. Laporan persempadanan semula telah diselesaikan dan diserahkan kepada Perdana Menteri pada 21 Februari 2017, tetapi beliau memilih untuk tidak membentangkan laporan tersebut di Parlimen tanpa sebarang penjelasan.
Syor Kedua untuk Sabah menunjukkan pembahagian tidak sekata yang teruk dan hal ini menimbulkan kebimbangan bahawa cadangan akhir mungkin memburukkan lagi pembahagian kedua-dua parlimen dan negeri. namun Perdana Menteri tidak mempunyai hak untuk melambatkan pembentangan laporan tersebut.
Ini juga merupakan pembaziran sumber awam kerana SPR telah menjalankan dua pusingan paparan awam, siasatan tempatan dan penyediaan laporan akhir.
Pengundi mesti kalahkan pemanipulasian pilihan raya dengan mengundi
Oleh itu, BERSIH 2.0 dengan tegas menolak keseluruhan proses persempadanan semula dan laporan akhir yang dibentangkan dan diluluskan di Parlimen. Suruhanjaya Pilihan Raya bukan sahaja mengabaikan proses dan prosedur perlembagaan, tetapi juga telah mengutarakan syor yang melanggar prinsip-prinsip utama yang terkandung dalam perlembagaan.
Adalah jelas bahawa Perdana Menteri, Parlimen, Suruhanjaya Pilihan Raya, Badan Kehakiman dan Polis kesemuanya terlibat dalam memastikan bahawa persempadanan semula diluluskan dengan tergesa-gesa dan dengan apa jua cara, untuk mempengaruhi dan mencuri pilihan raya umum akan datang.
BERSIH 2.0 menggesa semua pengundi untuk menolak pemanipulasian pilihan raya dengan keluar mengundi dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang. Walaupun kita mungkin tidak dapat menghentikan persempadanan semula daripada diluluskan, jumlah pengundi yang tinggi pada PRU ini akan dapat mengurangkan kesan penipuan dan manipulasi pilihan raya.
Satukan Tenaga – Keluar Mengundi, Kalahkan Pencuri!
Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0