KENYATAAN MEDIA (6 APRIL 2018): ROS Harus bersikap adil dan Akta Pertubuhan Perlu DiRombak

BERSIH 2.0 mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ROS membubarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk sementara waktu (30 hari) pada ambang pilihan raya umum ke-14. Menurut kata Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim, PPBM bakal berdepan dengan pembuburan sepenuhnya jika gagal menyerahkan sepenuhnya segala butiran, maklumat dan dokumen yang diminta sebagai mana notis di bawah Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966.
Tindakan ROS ini ternyata bermotif politik kerana tindakan ini diambil tiga hari sebelum pembubaran parlimen di mana kerajaan sementara akan mengambil-alih yang tidak harus membuat keputusan sebegitu yang memberi impak yang luas.
Ini bukanlah kali pertama ROS telah bertindak sebegini rupa keatas Parti politik yang diterajui oleh pembangkang. Malah, badan budan kerajaan (NGO) turut sering kali menjadi mangsa kepada sistem yang tidak adil dan berat sebelah ini.
Sebelum ini, Parti Tindakan Demokratik (DAP) turut menjadi mangsa kepada ROS selama 5 tahun. Taktik yang sama digunapakai oleh ROS ketika menjelang PRU13 yang lalu. Parti Sosialis Malaysia juga ditolak permohonan pendaftaran mereka selama 10 tahun. BERSIH 2.0 ingin menegaskan bahawa, artikel 10 perlembagaan persekutuan menjamin hak berorganisasi setiap individu dan hak ini harus dipelihara oleh semua pihak termasuk ROS.
ROS harus berhenti bertindak sebagai alat sang pemerintah dan bertindak tanpa fear or favour daripada mana-mana pihak. Prinsip asas suatu pilihan raya adalah membenarkan semua pihak untuk bertanding di lapangan yang sama rata (level playing field). Seharusnya hal-hal pendaftaran dan pengendalian parti-parti politik diletakkan di bawah kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bebas dan bukannya ROS kerana ROS merupakan satu jabatan di bawah penguasaan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Seperti sebelum ini, BERSIH 2.0 telah menyatakan pentingnya reformasi institusi-institusi awam dan kami menuntut agar peraturan-peraturan atau undang-undang yang termaktub dalam Akta Pertubuhan 1966 dikaji semula agar semua pihak samada parti politik atau kumpulan masyarakat sivil dapat beroperasi dengan mudah dan tidak akan terus menjadi mangsa permainan politik kepada mana-mana parti pemerintah yang berkuasa kelak.
BERSIH 2.0 berharap agar larangan atau pembubaran sementara ke atas PPBM ditarik balik dan benarkan PPBM beroperasi secara biasa menjelang PRU14.
#KeluarMengundi
#KalahkanPencuri
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0