KENYATAAN MEDIA (10 APRIL 2018): Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) Harus Mengurangkan Kadar Tambang Penerbangan dan Tidak Mengenakan Caj ‘Re-booking’ dan ‘Re-routing’ Pada Tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14)

Berikutan pembubaran parlimen dan Pilihan Raya Umum ke14 (PRU 14) akan datang, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengalu-alukan pengumuman Syarikat Penerbangan Cathay Pacific, Malindo dan Air Asia yang telah pun menawarkan kemudahan pengecualian caj bagi rakyat Malaysia yang ingin menjadualkan semula laluan penerbangan pada tarikh PRU 14 yang bakal tiba.
Tindakan Syarikat Penerbangan Cathay Pacific, Malindo dan Air Asia yang prihatin dengan pengundi-pengundi Malaysia di luar negara yang ingin pulang ke Malaysia untuk mengundi amat dihargai oleh BERSIH 2.0 dan rakyat Malaysia. Ia juga selaras dengan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
BERSIH 2.0 menyeru Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dan syarikat-syarikat penerbangan yang lain untuk mengikut jejak langkah syarikat penerbangan Cathay Pacific, Malindo dan Air Asia supaya melaksanakan tanggungjawab sosial koporat yang sama, dengan menurunkan harga tiket penerbangan serta mengecualikan caj penjadualan semula dan pembelian semula tiket penerbangan semasa PRU 14, terutamanya bagi mereka yang tinggal atau bekerja atau belajar di luar negara supaya dapat melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dalam menentukan kerajaan baru dan hala tuju negara dalam PRU 14.
Perkhidmatan sedemikian juga akan memudahkan rakyat Sabah dan Sarawak yang bekerja di Semenanjung dan rakyat Semenanjung yang bekerja di Sabah dan Sarawak untuk pulang mengundi. Tambahan pula, MAS merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dibiayai oleh cukai rakyat Malaysia, maka ia mempunyai tanggungjawab sosial yang lebih berat terhadap rakyat Malaysia berbanding dengan syarikat penerbangan yang lain.
Selaras dengan seruan tersebut, BERSIH 2.0 telah memulakan satu petisyen bagi mengumpul seberapa banyak suara rakyat Malaysia terutamanya pengundi Malaysia yang bekerja di luar negara, untuk memohon MAS dan syarikat-syarikat penerbangan yang lain agar mengurangkan kadar tambang penerbangan serta mengetepikan caj ‘re-booking’ dan ‘re-routing’ dalam tempahan penerbangan kepada pelanggan warganegara Malaysia yang membuat tempahan semasa tarikh Pilihanraya Umum Ke 14.
Petisyen ini dibuat memandangkan terdapat ratusan ribu warganegara Malaysia yang layak mengundi berada di luar negara dan agak sukar untuk mereka pulang ke Malaysia untuk mengundi dalam PRU 14 kerana mereka perlu menampung kos perjalanan dan mengambil cuti daripada kerja atau belajar. Kebanyakan pengundi semestinya terpaksa membuat tempahan semula untuk menukar tarikh perjalanan memandangkan tarikh PRU 14 baru sahaja diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 9 Mei 2018, iaitu tempoh kurang sebulan daripada sekarang.
Inisiatif ini bertujuan melindungi hak pengundi-pengundi Malaysia yang tinggal di luar negara serta pengundi Sabah dan Sarawak yang tinggal dan bekerja di Semenanjung Malaysia dan juga sebaliknya supaya dapat mengundi tanpa membiayai kos yang tinggi dan mengalami kesulitan.
Hingga hari ini, seramai hampir 3,000 orang telah menandatangani petisyen tersebut. Bagi yang belum menandatanganinya, diharapkan agar segera berbuat demikian agar lebih banyak suara dapat dikumpulkan seterusnya menghasilkan solidariti yang kuat untuk permohonan ini di pautan : https://www.change.org/p/mas-help-bring-back-malaysian-voters-jombalikundi-petition-to-malaysia-airlines-mas-to-reduce-flight-fares-waive-re-booking-and-re-routing-fee-for-14th-general-election-ge-14
Diharapkan MAS dan syarikat-syarikat penerbangan yang lain dapat mempertimbangkan permohonan ini sesegera mungkin, memandangkan PRU 14 akan berlangsung tidak lama lagi.
#BringBackMalaysianVoters
#JomBalikUndi
Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0