Gabungan Pilihan Raya Bersih Dan Adil (BERSIH 2.0) mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia yang bersuara memprotes keputusan berkenaan hari mengundi yang ditetapkan pada hari Rabu, 9 Mei yang pada awalnya tidak diumumkan oleh kerajaan sementara sebagai cuti umum. Kerajaan sementara di peringkat Persekutuan akhirnya mengalah apabila keputusan petisyen atas talian kepada Yang di-Pertuan Agong Malaysia melalui laman change.org yang berjaya mengumpulkan lebih 120,000 tandatangan sebelum pengumuman dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri.
Di samping menyambut baik pengumuman Pejabat Perdana Menteri, kami tetap dengan pendirian bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seharusnya sejak dari awal memutuskan hari mengundi pada hujung minggu dan pengumuman cuti umum pada tarikh 9 Mei langsung tidak menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh para pengundi memandangkan hari Rabu merupakan pertengahan minggu; dan agak sukar bagi pengundi yang terpaksa menempuhi perjalanan yang jauh untuk mengundi, terutama bagi pengundi Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung dan juga sebaliknya.
Tambahan pula, pengundi yang bekerja di Singapura, Brunei, Kalimantan dan Selatan Thailand (iaitu kumpulan yang tidak layak untuk undi pos) akan menghadapi halangan besar kerana tarikh 9 Mei bukan tarikh cuti umum di negara tempat mereka bekerja dan kemungkinan mengalami kesukaran untuk balik mengundi. Mereka mungkin perlu mengambil cuti dua hari daripada majikan mereka.
Oleh itu, BERSIH 2.0 tetap dengan kerisauan bahawa peratusan turun mengundi berkemungkinan rendah pada 9 Mei nanti walaupun telah diumumkan sebagai cuti umum. Kami menyeru agar seluruh majikan di Malaysia untuk mempertimbangkan kelulusan cuti untuk pekerja mereka yang perlu menempuh perjalanan jauh untuk mengundi, terutamanya yang terpaksa bergerak antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia. Kami juga memohon para majikan yang mempunyai pekerja warganegara Malaysia di Singapura, Brunei, Selatan Thailand, dan Kalimantan untuk memberikan sokongan kepada warga Malaysia yang berhasrat untuk menunaikan kewajipan mereka sebagai pengundi.
Peratusan mengundi sebanyak 90% diperlukan untuk membentuk representasi suara rakyat demi menentukan masa depan Malaysia dan mengurangkan kesan persempadanan semula yang tidak adil. BERSIH 2.0 akan terus menerus menyeru para pengundi untuk keluar mengundi beramai-ramai memandangkan hanya inilah satu-satunya cara untuk meminimakan impak penipuan pilihan raya dan untuk memastikan keputusan akhir pilihan raya benar-benar mencerminkan pilihan yang dibuat oleh rakyat.
KELUAR MENGUNDI, KALAHKAN PENCURI
Dikeluarkan oleh :
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0