BERSIH 2.0 hari ini melancarkan ‘Hall Of Shame PRU 14’ berkaitan kesalahan-kesalahan pilihan raya untuk menamakan mana-mana calon, parti, secara rasmi mahupun secara individu yang bersalah atas apa-apa tindakan yang bertentangan dengan pilihan raya yang bersih dan adil.
Kesalahan Pilihan Raya dalam ‘Hall Of Shame’ akan dikumpul berdasarkan maklumat daripada aduan-aduan sah yang telah dihantar kepada BERSIH 2.0 oleh orang awam atau sukarelawan serta koordinator PEMANTAU. Pemilihan tersebut dibuat berdasarkan nilai wang yang terlibat, kekerapan kesalahan, skala ketersampaian kepada orang awam dan kesan kepada integriti pilihan raya yang akan datang. Kategori kesalahan yang akan dipantau oleh BERSIH 2.0 telah disenaraikan dalam laman web PEMANTAU : https://www.pemantau.org.
BERSIH 2.0 melancarkan “Hall of Shame PRU14” sebagai penanda aras bukan sahaja untuk menamakan mereka yang melakukan taktik-taktik tertentu untuk memenangi hati pengundi, tetapi juga untuk mendidik masyarakat berkenaan prinsip pilihan raya yang bersih dan adil. BERSIH 2.0 telah mewarwarkan garis panduan kerajaan sementara dalam laman web kami dan telah menghantar salinan garis panduan tersebut kepada parti-parti politik yang utama.
‘Pemenang-pemenang’ terbaru dalam senarai kesalahan pilihan raya ‘Hall Of Shame PRU14’ akan diumumkan di saluran media sosial kami, pada setiap minggu sehinggalah hari pembuangan undi yang jatuh pada tarikh 9 Mei 2018.
10 nama pertama dalam “Hall Of Shame PRU 14”, yang dipilih daripada lebih 130 laporan yang telah disahkan, adalah seperti berikut:
1) Azalina Othman Said, Ahli Parlimen Pengerang, kerana telah memberikan RM5000 kepada setiap daripada 360 penduduk FELDA dan pada masa yang sama berkempen untuk BN pada 14 April 2018. Jumlah wang pembayar cukai yang terlibat adalah RM 1,800,000.
2) Raja Nong Chik, atas pemberian yang kerap dan konsisten kepada pengundi Lembah Pantai, termasuklah menyediakan motorsikal sebagai hadiah cabutan bertuah. Pemberian lain termasuklah wang, keperluan rumah dan kaca mata percuma.
3) Dominic Lau, daripada Gerakan Batu, atas pemberian yang kerap sebagai salah satu elemen daripada kempen “I love Batu”. Ini termasuklah beras, kaca mata percuma dan cenderahati.
4) Ali Rustam, berkemungkinan calon BN untuk Hang Tuah Jaya, atas pengedaran minyak masak dan beras, dengan gambarnya yang tertera pada barangan tersebut.
5) Abdul Mutalif Abdul Rahim, daripada Barisan Nasional Taman Medan, yang memberikan RM3,000 kepada pengundi sambil berkempen.
6) Jamil Khir Baharom, Ahli Parlimen Jerai, yang berulang kali memberikan hadiah kepada pengundi semasa berkempen, termasuklah memberikan motorsikal sebagai hadiah cabutan bertuah.
7) Najib Razak, atas penggunaan kementerian-kementerian dan jentera kerajaan yang berterusan untuk kempen Barisan Nasional. Lebih-lebih lagi, Perdana Menteri sementara itu terus-menerus memberi ucapan kempen sambil menyerahkan bantuan kerajaan atau mengumumkan projek-projek baru kerajaan.
8) Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia, Noor Hisham Abdullah, atas kenyataan beliau melalui laman sosial ‘twitter’ berkenaan sokongan beliau kepada Barisan Nasional, yang melanggar peraturan perkhidmatan awam. Kementerian Kesihatan Malaysia juga menggunakan laman Facebook rasminya untuk mempromosikan Barisan Nasional.
9) barisan Nasional Sungai Petani, yang menggunakan pusat bantuan banjir kerajaan sebagai Bilik Gerakan.
10) Tengku Adnan Tengku Mansor, yang menggunakan Kementerian Wilayah Persekutuan sebagai jentera kempen beliau, termasuklah ruang iklan Kementerian yang digunakan untuk mempromosikan Barisan Nasional dan majlis-majlis Kementerian digunakan sebagai majlis-majlis kempen BN.
BERSIH 2.0 mengecam lapan ahli politik BN dan sebuah pejabat bahagian yang disenaraikan di atas kerana telah menyalahgunakan aset kerajaan untuk kempen parti politik mereka. Kami juga terkejut dengan tindakan Kementerian Kesihatan membenarkan laman Facebooknya mempromosikan manifesto Barisan Nasional. Kami menuntut agar kesemua mereka menghentikan segera perbuatan tersebut.
BERSIH 2.0 menyeru kepada sesiapa sahaja yang menyaksikan kesalahan pilihan raya untuk melaporkan kepada kami di 1) aduan.pemantau.org, 2) melalui Whatsapp di talian 011-17721546 atau 3) hubungi 03-79314444. Aduan tersebut diperlukan untuk memastikan individu atau pihak yang terlibat dalam salah laku tersebut dipanggil dan dipertanggungjawabkan supaya prinsip pilihan raya yang bersih dan adil dapat dipertahankan dalam Pilihan Raya Umum ke 14.
KELUAR MENGUNDI, KALAHKAN PENCURI.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0