KENYATAAN MEDIA (27 APRIL 2018): Bersih Mengecam Undi Awal dan Undi Pos yang Tidak Telus – Calon-calon PRU14 Perlu Peka dan Pantau Proses Undi Awal dan Undi Pos

 
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengecam proses Undi Awal and Undi Pos yang tidak telus dan kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk memberikan maklumat-maklumat yang jelas bagi meyakinkan orang ramai bahawa ia tidak akan dimanipulasikan.
Bersih 2.0 dengan ini menyeru kepada semua calon dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk memastikan pemantauan ketat terhadap proses Undi Awal dan Undi Pos.
Untuk rekod, BERSIH 2.0 telah menuntut pemansuhan Undi Pos sejak tahun 2007 lagi. Untuk proses Undi Awal, BERSIH 2.0 telah menuntut pembaharuan dari segi pengiraan pada hari yang sama. Ini adalah kerana terdapat banyak keraguan terhadap ketelusan dan proses Undi Awal dan Undi Pos, khasnya mengenai keselamatan peti undi, kerahsiaan, dan manipulasi kertas undi.
Walaubagaimanapun, SPR akan meneruskan sistem Undi Awal dan Undi Pos dalam PRU14. SPR telah mengumumkan bahawa terdapat 300,255 pengundi yang akan mengundi melalui Undi Awal, manakala jumlah pengundi Undi Pos masih belum dimuktamadkan (dianggarkan melebihi 250,000 pengundi). Lampiran 1 menunjukkan 20 kerusi Parlimen yang mempunyai paling banyak pengundi awal.
Semua calon yang akan bertanding dalam PRU14 perlu memastikan pemantauan ketat dijalankan  terhadap proses Undi Awal dan Undi Pos. Ini adalah penting kerana manipulasi dan penipuan melalui Undi Awal dan Undi Pos akan menentukan keputusan pilihan raya, terutamanya di kerusi-kerusi marginal.
Pada PRU yang lepas, terdapat ramai calon yang keliru dan tidak menghantar PACA untuk memerhatikan proses Undi Awal dan Undi Pos. Untuk mengatasi masalah ini, BERSIH 2.0 pada hari ini menerbitkan “Panduan Pemantauan Undi Awal dan Undi Pos” untuk membantu calon-calon memahami proses pemantauan Undi Awal dan Undi Pos.
Selain itu, BERSIH 2.0 juga menuntut SPR untuk meningkatkan ketelusan proses Undi Awal dan Undi Pos. BERSIH 2.0 menuntut SPR:

  • memberikan senarai pengundi pos kepada setiap calon sebelum hari pengeluaran Undi Pos;
  • membuat pengumuman awam mengenai jumlah pengundi pos dan pengundi awal di setiap bahagian pilihan raya sebelum hari mengundi;
  • membuat pengumuman awam seawal mungkin mengenai hari pengeluaran Undi Pos supaya calon-calon mempunyai masa yang cukup untuk membuat persediaan;
  • membuat pengiraan undi pada hari pengundian awal dan Borang 14 diisikan supaya isu keselamatan peti undi boleh dielakkan. Jika tidak, SPR mesti memberi akses bebas 24 jam kepada ejen calon untuk memerhati dan memantau peti undi awal dan peti undi pos; dan
  • menjamin akses bebas kepada ejen calon untuk memerhatikan proses Undi Awal, pengeluaran Undi Pos, dan pengiraan Undi Awal dan Undi Pos;

 
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH2.0
 
Lampiran:

  1. 20 Kerusi Parlimen dengan Undi Awal Terbanyak
  2. Panduan Pemantauan Undi Awal dan Undi Pos

 
Lampiran 1 – 20 Kerusi Parlimen dengan Undi Awal Terbanyak

No. Kod NamaParlimen  Jum Pemilih  Biasa  Awal/PTH %
1. 118 SETIAWANGSA                  72,136                  54,686                  17,450 24.19%
2. 074 LUMUT                  67,157                  55,244                  11,913 17.74%
2. 136 TANGGA BATU                  83,213                  71,450                  11,763 14.14%
3. 121 LEMBAH PANTAI                  80,346                  70,061                  10,285 12.80%
4. 132 PORT DICKSON                  75,212                  68,115                    7,097 9.44%
5. 085 PEKAN                  88,899                  82,061                    6,838 7.69%
6. 152 KLUANG                  96,915                  90,650                    6,265 6.46%
7. 197 KOTA SAMARAHAN                  46,300                  40,228                    6,072 13.11%
8. 014 MERBOK                  87,782                  82,088                    5,694 6.49%
9. 124 BANDAR TUN RAZAK                  83,650                  78,143                    5,507 6.58%
10. 133 TAMPIN                  60,765                  55,418                    5,347 8.80%
11. 060 TAIPING                  90,729                  85,626                    5,103 5.62%
12. 063 TAMBUN                107,763                103,033                    4,730 4.39%
13. 196 STAMPIN                  66,240                  61,919                    4,321 6.52%
14. 026 KETEREH                  65,238                  61,187                    4,051 6.21%
15. 101 HULU LANGAT                102,363                  98,368                    3,995 3.90%
16. 120 BUKIT BINTANG                  69,526                  65,737                    3,789 5.45%
17. 173 PUTATAN                  41,312                  37,567                    3,745 9.07%
18. 115 BATU                  76,328                  72,693                    3,635 4.76%
19. 116 WANGSA MAJU                  88,482                  84,836                    3,646 4.12%
20. 054 GERIK                  35,903                  32,312                    3,591 10.00%