Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengecam keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) yang melarang Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk memantau Pilihan raya Umum ke 14.
Adalah sangat menghairankan dan tidak masuk akal bila SPR mengumumkan bahawa mereka telah mengundang 14 negara untuk memantau PRU 14 tetapi tidak membenarkan SUHAKAM, sebuah institusi yang ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia sendiri, untuk memantau PRU14.
Malahan, mengapa pertubuhan-pertubuhan daripada luar negara di mana rekod demokrasi mereka amat dipersoal oleh pelbagai pertubuhan hak asasi dunia seperti Azerbaijan, Thailand, Cambodia dan lain-lain diundang untuk memantau PRU14 tetapi SUHAKAM dan BERSIH 2.0 tidak diberi kebenaran untuk memantau?
BERSIH 2.0 juga telah menghubungi badan pilihan raya Timor Leste iaitu National Commission for Election Timor Leste dan Secretariat for Electoral Administration Technical (STAE) atau dikenali sebagai Secretariado Técnico de Administração Eleitora (dalam Bahasa Portugis) yang mana SPR mengatakan bahawa mereka telah pun menjemput negara ini untuk memantau PRU14. Namun, amat mengejutkan apabila BERSIH 2.0 dimaklumkan bahawa mereka sebenarnya tidak menerima sebarang jemputan daripada SPR. Adakah SPR telah membuat satu pembohongan terhadap rakyat Malaysia untuk menjustifikasikan ketelusan PRU14? Jikalau bukan kedua-dua badan pilihanraya Timor Leste ini, siapakah yang mereka undang dari Timor Leste?
Keputusan SPR menolak permohonan SUHAKAM dan misteri jemputan terhadap badan pilihanraya Timor Leste hanya memperkuatkan kepercayaan orang ramai bahawa akan terdapat banyak penipuan dan penyelewenggan dalam PRU14 sehingga SPR tidak mempunyai keyakinan untuk membenarkan SUHAKAM dan BERSIH 2.0 untuk memantau PRU 14.
Oleh yang demikian, mereka menolak permohonan SUHAKAM dan tidak memberi surat balas kepada BERSIH 2.0. Keputusan SPR juga menunjukkan dakwaan Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah bahawa pilihan raya di Malaysia yang lepas telah dijalankan dengan telus dan adil adalah satu dakwaan yang tidak berasas dan merupakan satu pembohongan besar.
Kami menuntut SPR untuk mengumumkan kesemua badan-badan daripada luar negara dan dalam negara yang dijemput untuk memantau PRU 14 dengan segera. SPR juga patut telus berkenaan Panduan Pemantauan (Term of Reference) untuk semua bada-badan ini. Adakah SPR sekadar melepas “batuk ditangga” ? Kegagalan SPR untuk membuat demikian hanya akan menjejaskan lagi kredibiliti SPR yang sudah cukup pudar di dalam pandangan rakyat Malaysia.
KELUAR MENGUNDI, KALAHKAN PENCURI
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0