Gabungan Pilihan Raya Bersih Dan Adil (BERSIH 2.0) menegaskan bahawa rakyat Malaysia telah lantang bersuara dengan jelas melalui peti undi dalam memilih Pakatan Harapan sebagai Kerajaan Persekutuan yang seterusnya.
Walaupun terdapat banyak manipulasi dan penipuan dalam Pilihan Raya Umum Ke 14 untuk menyebelahi Barisan Nasional, ianya dapat diatasi dengan kemenangan 113 kerusi Parlimen bagi gabungan Pakatan Harapan, dengan tambahan 8 kerusi kepada Parti Warisan Sabah.
BERSIH 2.0 yakin bahawa tiada sebab yang kukuh untuk menangguhkan acara angkat sumpah pemimpin Pakatan Harapan, Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia. Perlembagaan Persekutuan hanya memerlukan Perdana Menteri untuk mendapat keyakinan majoriti Ahli Dewan Rakyat dan tidak menyebut mana-mana parti politik. Terdapat juga beberapa gabungan awal yang segera membentuk kerajaan negeri setelah keputusan pilihan raya diumumkan, termasuklah Selangor dan Pulau Pinang pada tahun 2013.
BERSIH 2.0 telah meneliti bahawa tujuan gabungan tidak rasmi ini dibentuk adalah disebabkan penyalahgunaan kuasa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) yang menolak permohonan Pakatan Harapan untuk menjadi gabungan rasmi.
Oleh itu, BERSIH 2.0 menyeru agar Presiden Barisan Nasional, Najib Razak menerima kekalahan dan membenarkan peralihan kuasa berlaku secara aman. Kami juga memohon Yang Di Pertuan Agong untuk memastikan pembentukan kerajaan baru tanpa sebarang penangguhan.
Ini adalah saat bersejarah untuk negara, dengan peralihan kuasa Persekutuan sejak Merdeka. Adalah mustahak untuk peralihan kuasa ini disempurnakan dengan lancar, demokratik dan efisien. Demokrasi adalah teras kestabilan politik dan ekonomi. Maka seharusnya tidak ada sebarang percubaan untuk menghalang proses ini daripada berlangsung.
BERSIH 2.0 mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia, calon-calon, ejen pengiraan undi, petugas pilihan raya (kebanyakannya bertugas secara profesional dan tiada sebarang insiden berlaku), sukarelawan PEMANTAU kami dan seluruh pengundi yang mengambil bahagian dalam perjuangan demokrasi yang berhadapan dengan pelbagai rintangan untuk menghalang hasrat rakyat.
Malaysia telah bersuara, Najib Razak perlu dengar.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0