Muat turun laporan ini dalam PDF
Pilihan Raya Umum Malaysia Ke 14 (PRU14) semakin bertambah buruk dengan korupsi, penipuan dan penyelewengan. Undang-undang pilihan raya telah diabaikan atau dikuatkuasa secara tidak serius dan sering berlaku sikap berat sebelah. Laporan awal pasca pilihan raya ini adalah satu kesimpulan ringkas berkenaan hasil pemerhatian dan pantauan terhadap isu-isu yang berlaku dalam PRU 14. Laporan ini juga adalah berdasarkan lebih 1,000 aduan yang dibuat kepada BERSIH 2.0 berkenaan pelaksanaan PRU14.
Laporan ringkas ini merangkumi aduan-aduan yang telah pun melalui semakan awal bagi pengesahan, tetapi masih belum disahkan sepenuhnya oleh koordinator PEMANTAU. BERSIH 2.0 juga masih menerima dan menggalakkan laporan daripada masyarakat awam, petugas pilihan raya, calon serta ejen pengundian dan pengiraan untuk membuat laporan secara atas talian di aduan.pemantau.org, melalui Whatsapp (011-17721546) atau hubungi 03-79314444.
Bias dan Penipuan Sebelum Hari Pengundian
BERSIH 2.0 sekali lagi mengemukakan Laporan Dapatan Awal PRU14 yang dikeluarkan pada 6 Mei 2018 (Lampiran 1). Laporan pra pilihan raya ini adalah berdasarkan pemantauan berterusan terhadap sistem pilihan raya sejak tahun 2006 dan pemerhatian terhadap kesalahan pilihan raya daripada 1 November 2017 – 6 Mei 2018.
Suruhanjaya Pilihan Raya didapati gagal membentuk keyakinan masyarakat awam dalam menguruskan proses dan sistem pilihan raya Malaysia serta menjejaskan integriti PRU14. Hal ini dapat dilihat melalui :
- Penetapan semula lakaran sempadan pilihan raya yang dilakar untuk memberi manfaat secara tidak adil hanya kepada Barisan Nasional.
- Gagal untuk membersihkan daftar pemilih dan mencegah pengundi hantu,
- Gagal untuk mencegah penyingkiran pengundi melalui proses pendaftaran pengundi yang tidak dikemaskini.
- Menetapkan hari pengundian pada hari Rabu.
- Menetapkan tempoh kempen yang paling singkat iaitu 11 hari.
- Menolak sewenang-wenangnya kelayakan calon semasa proses penamaan calon.
- Gagal mengambil tindakan terhadap kesalahan pilihan raya, termasuklah pembelian undi yang berleluasa, pemberian dan korupsi, atau mengambil kesempatan dalam posisi kerajaan sementara.
- Menetapkan sewenang-wenangnya peraturan pilihan raya yang tidak munasabah pada saat-saat akhir, termasuklah tidak membenarkan gambar Perdana Menteri terkini, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad dipaparkan dalam bahan kempen.
- Gagal memperbaharui sistem undi pos dan undi awal, yang membenarkan pengundi hantu didaftarkan sebagai pengundi awal yang dipindahkan ke kem tentera yang belum siap dibina dan menghalang usaha-usaha untuk memastikan ketelusan dalam undi pos dan undi awal.
- Gagal untuk membenarkan pemerhatian pilihan raya yang berkesan, termasuk menghalang Suruhanjaya hak Asasi Manusia (SUHAKAM) daripada menjalankan kerja-kerja pemantauan yang diiktiraf sebaliknya memberikan pengiktirafan kepada Majlis Belia Malaysia, yang secara terbuka berkempen untuk Barisan Nasional.
Masalah-masalah Semasa Hari Pengundian
Hari Pengundian bagi PRU14 jatuh pada tarikh 9 Mei 2018. Menurut SPR, bilangan pengundi yang turun mengundi dalam PRU14 adalah 12,299,514 daripada jumlah keseluruhan 14,940,624 pengundi berdaftar (82.32%).
Jadual berikut menjelaskan tentang ringkasan daripada aduan yang diterima oleh BERSIH 2.0 semasa hari pengundian, berkaitan pelaksanaan pilihan raya:
Isu Semasa Hari Pengundian |
Bilangan Kes Dilaporkan |
1. Pembelian undi semasa hari pengundian dan malam sebelum pengundian
|
6 |
2. Borang 13 dan borang 14 tidak disempurnakan dan dikeluarkan dengan betul
|
8 |
3. (a) Penyamaran dan pengundi hantu
|
36 |
3. (b) Enggan memotong nama daripada senarai daftar pemilih
|
37 |
4. Pengundi didaftarkan tanpa pengetahuan sebagai pengundi pos atau nama pengundi pos tidak dipadamkan daripada daftar pemilih
|
10 |
5. (a) Kertas undi yang bertanda
|
23 |
5. (b) Kertas undi yang dikeluarkan tanpa cop atau nombor siri SPR
|
28 |
5. (c) Enggan mengeluarkan kertas undi baru untuk menggantikan kertas undi yang rosak
|
11 |
6. Salah melabel kotak undi bagi Parlimen dan Dun
|
62 |
7. Sikap berat sebelah pegawai dan petugas pilihan raya
|
6 |
8. Polis merekodkan jenis kaum pengundi
|
2 |
9. Kesukaran untuk memasuki pusat mengundi dan kesulitan mengundi bagi OKU
|
11 |
10. Pusat mengundi ditutup serta-merta pada jam 5 petang
|
19 |
11. Berkempen semasa hari pengundian
|
19 |
Jumlah |
278 |
BERSIH 2.0 sekali lagi mengulangi bahawa aduan-aduan ini diterima pada 10 Mei 2018. BERSIH 2.0 yakin bahawa masalah yang sama berlaku di seluruh negara seterusnya menggalakkan masyarakat umum, petugas pilihan raya, calon serta ejen pengundian dan pengiraan untuk terus melaporkan sebarang aduan secara atas talian di aduan.pemantau.org, melalui Whatsapp (011-17721546) atau hubungi 03-79314444 supaya masalah tersebut dapat dirangkumkan dalam laporan akhir.
- Pembelian undi semasa hari pengundian dan malam sebelum pengundian
BERSIH 2.0 telah mengesahkan bahawa malam sebelum hari pengundian, wang tunai telah diberikan kepada pengundi oleh Barisan Nasional di P185 Batu Sapi dan P191 Kalabakan di Sabah. Semasa hari pengundian, BERSIH 2.0 mengesahkan bahawa pemberian wang tunai telah diberikan oleh Barisan Nasional di P196 Stampin. Laporan ini sama seperti apa yang dinyatakan oleh calon BN Semporna, Ramlee Marhaban kepada akhbar The Star menuju pilihan raya, bahawa wang tersebut diberikan secara berterusan dalam tempoh 48 jam sebelum pengundian.
Wang tunai juga diberikan kepada pengundi selepas mengundi di Keningau, Tawau dan Pensiangan, Sabah oleh Barisan Nasional. Di Keningau, pemberian ini dikatakan ‘elaun perjalanan’.
BERSIH 2.0 juga sekali lagi menekankan bahawa dalam Laporan Dapatan Awal PRU 14 yang dikeluarkan pada 6 Mei 2018 di mana lebih 400 kesalahan pilihan raya termasuk rasuah dan beli undi, pemberian dan penyalahgunaan kuasa kerajaan sementara telah direkodkan sebelum dan semasa tempoh pilihan raya. SPR gagal untuk mencegah, menghentikan atau mengambil tindakan terhadap kesalahan pilihan raya yang semakin berleluasa.
- Borang 13 (Penyata Kertas Undi) dan Borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi) tidak dikeluarkan mengikut peraturan
Terdapat banyak laporan telah dihantar kepada BERSIH 2.0 daripada ejen pengundian bahawa mereka tidak dibenarkan untuk memeriksa kertas undi sebelum pengeluaran kertas undi. Ini menyebabkan tiada kemungkinan untuk memastikan sebaiknya Borang 13 disempurnakan dengan betul.
Ejen pengiraan undi di sesetengah lokasi telah ditolak permohonan mereka untuk mendapatkan salinan Borang 14 oleh Ketua Tempat Mengundi, yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 4(g) Akta Kesalahan Pilihan Raya. Dalam banyak situasi, selepas tekanan daripada ejen pengiraan undi, borang-borang tersebut akhirnya diserahkan. Walaubagaimanapun, terdapat laporan daripada Selangor, Perak, Johor dan Sabah menyatakan bahawa beberapa ejen pengiraan tidak berjaya mendapatkan salinan borang tersebut.
- Penyamaran dan pengundi hantu
25 individu telah melaporkan kepada BERSIH 2.0 bahawa mereka tidak dapat mengundi kerana orang lain telah mengundi untuk nama mereka. Ini adalah tambahan kepada lebih daripada 500 salinan Borang 11 (pengesahan identiti untuk mengelakkan kes pengundi yang meragukan) yang telah dikeluarkan di kawasan Wangsa Maju. Ini adalah disebabkan individu yang cuba mengundi walaupun bukan merupakan penduduk di kawasan tersebut, di mana sebahagiannya mengakui telah dibayar untuk memindahkan alamat pengundian ke Wangsa Maju.
Di Klang, sekurang-kurangnya 20 orang yang nombor kad pengenalannya diklasifikasikan sebagai “nombor yang tidak diiktiraf” oleh Jabatan Pendaftaran Negara berikutan dokumen kewarganegaraan yang dipalsukan, yang hanya dibenarkan mengundi setelah dikawal oleh pegawai SPR dalam pusat pengundian.
Terdapat juga beberapa laporan mengenai nama yang tidak dipotong dan dikeluarkan daripada senarai daftar pemilih, sama ada sebahagian atau keseluruhan. Memandangkan aduan berkaitan kes ini kerap dilaporkan, ia menunjukkan bahawa pegawai SPR tidak cukup terlatih ataupun diberi arahan bahawa memotong nama dalam senarai daftar pemilih adalah tidak wajib. Peraturan 19(5) Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 menyatakan bahawa tanda perlu dibuat bagi nombor dan nama pengundi yang telah mengundi. Terdapat satu kes yang dilaporkan oleh pengundi di Gombak yang pergi ke pusat mengundi yang salah untuk mengundi. Jari pengundi tersebut telah dicelup dengan dakwat kekal dan menyebabkan beliau tidak layak mengundi di pusat mengundi yang betul.
- Pengundi didaftarkan tanpa pengetahuan sebagai pengundi pos atau nama pengundi pos tidak dipotong dan dikeluarkan daripada senarai daftar pemilih
Pengundi tidak dapat membuang undi setelah tiba di pusat mengundi dan dimaklumkan bahawa mereka telah diklasifikasikan sebagai pengundi pos, walaupun tidak pernah membuat permohonan untuk perkara tersebut. Mereka ini tidak dapat mengundi.
Kes-kes ini menunjukkan bahawa tidak ada langkah keselamatan yang mencukupi untuk memastikan orang ramai peka terhadap permohonan undi pos dan permohonan tersebut tidak sepatutnya mewakilkan orang lain untuk tujuan penipuan. Disebabkan mereka tidak pernah menerima kertas undi pos, maka kerta sundi tersebut diserahkan kepada pihak yang melakukan penipuan.
Terdapat juga laporan berkaitan undi pos di mana nama mereka tidak dipotong dalam senarai daftar pemilih semas ahari pengundian.
Ini adalah nilai tambah kepada penggandaan kertas undi yang dikeluarkan kepada ramai pengundi, menunjukkan kegagalan mutlak bagi proses dan mekanisme undi pos dalam PRU 14.
- Kertas undi bertanda atau tiada cop atau nombor siri
Kertas undi telah dikeluarkan kepada pengundi di sekurang-kurangnya 16 buah sekolah tanpa dicop oleh pegawai SPR. Hanya setelah beberapa pengundi protes terhadap situasi tersebut, akhirnya petugas SPR bersetuju untuk mengecop kertas undi tersebut. Peraturan 19(6) Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 ada menyatakan bahawa kertas undi perlu dicop dengan cop rasmi sebelum dikeluarkan kepada pengundi.
Kesemua kertas undi dalam sebahagian buku terdapat tanda di dalamnya, sebagai contoh, titik-titik di sekitar nama calon dan kesan calitan dakwat pada ruangan undi. Hal ini menimbulkan kebimbangan sekiranya undi-undi ini boleh dikategorikan sebagai undi rosak mengikut garis panduan SPR mengenai kertas undi yang rosak.
Terdapat juga kes di mana pegawai SPR enggan mengeluarkan kertas undi gantian kepada pengundi yang merosakkan kertas undi mereka secara tidak sengaja. Pengundi dimaklumkan bahawa kertas undi tidak mencukupi untuk memberikan kertas undi baru kepada mereka.
- Kotak undi bagi Parlimen dan Negeri dilabel dengan warna kertas undi yang salah
Semua kotak undi, kecuali di Wilayah Persekutuan dan Sarawak (tanpa pemilihan negeri), telah ditanda sama ada “Parlimen” atau “Negeri”. Walaubagaimanapun, dalam kebanyakan tempat seluruh negara, warna label tersebut tidak sama dengan warna kertas undinya, menyebabkan kebanyakan undi diletakkan dalam kotak undi yang salah. Label terperinci juga tidak selari dengan label besar “PARLIMEN” dan“NEGERI”. Dalam satu contoh, petugas SPR yang terlalu prihatin telah cuba menanggalkan label tersebut daripada kotak undi untuk cuba memperbetulkan masalah.
Walaupun perkara ini tidak menjejaskan keputusan pilihan raya kerana kertas-kertas undi diasingkan sebelum pengiraan, ianya menyebabkan kegusaran yang besar kerana pengundi bimbang kertas undi mereka tidak dikira dengan betul.
- Sikap berat sebelah pegawai dan petugas pilihan raya
Laporan telah diterima bahawa pegawai pilihan raya mengarahkan pengundi tentang siapa yang mereka patut undi semasa dalam pusat mengundi. Kes ini dikhususkan kepada golongan pengundi warga emas atau kurang upaya.
- Polis merekodkan jenis kaum pengundi
Polis yang menunggu di luar saluran mengundi dilihat merekodkan jenis kaum para pengundi setelah mereka masuk ke dalam bilik pengundian. Apabila ditanya berkenaan hal ini, polis memberitahu pengundi bahawa ianya adalah prosedur biasa.
- Kesukaran untuk memasuki pusat mengundi
Sesetengah saluran pengundian bagi golongan warga emas tidak ditempatkan di tingkat bawah pusat mengundi, dan tiada pilihan lain untuk sampai ke bilik pengundian melainkan dengan menaiki tangga. Ibu bapa yang membawa anak-anak tidak dibenarkan masuk ke dalam pusat mengundi. Pegawai SPR juga bertindak kontra dengan peraturan berkaitan membantu golongan tua, wanita hamil dan orang kurang upaya untuk mengundi. Dalam sesetengah kes, mereka menandakan kertas undi bagi pihak pengundi berkenaan, dan dalam kes yang lain mereka membawa turun kertas undi ke tingkat bawah untuk diberikan kepada pengundi.
Walaupun SPR telah menjamin bahawa tiada kod pemakaian khusus untuk mengundi, terdapat pengundi-pengundi yang masih dihalang untuk masuk ke pusat mengundi kerana memakai seluar pendek atau selipar.
- Pusat mengundi ditutup pada jam 5 petang
Pengundi disingkirkan beramai-ramai oleh keengganan Pengerusi SPR untuk membenarkan mereka yang masih dalam barisan yang masih menunggu untuk membuang undi pada jam 5 petang. Pengundi mengadu tentang proses pengundian yang perlahan. Di sesetengah sekolah, pengundi telah berbaris lebih daripada dua jam sebelum dimaklumkan bahawa mereka tidak boleh mengundi dan seorang pengundi menunggu sehingga 6 jam. Banyak saluran yang dibesarkan, dengan jumlah lebih 700 pengundi ditempatkan dalam satu saluran.
- Berkempen di hari pengundian
Mesej SMS dihantar kepada pengundi semasa hari pengundian yang memaksa mereka mengundi Barisan Nasional. Tambahan pula, terdapat beberapa kes berkempen tidak sampai 50 meter daripada pusat pengundian, dan dibenarkan oleh pegawai SPR yang bertugas. Di Sarawak, seorang calon di Sarawak dilihat memberikan ucapan di hadapan pusat mengundi. Di Sungai Besar, calon BN Budiman Mohd Zohdi dibenarkan mengundi memakai baju berlogo Barisan Nasional, sementara pengundi di kawasan lain tidak dibenarkan memasuki pusat mengundi kerana memakai T-shirt BERSIH.
Penambahbaikan Positif
- Dakwat kekal
Selepas peristiwa “dakwat kekal” yang mudah dihilangkan pada PRU 13, BERSIH 2.0 tidak lagi menerima aduan bahawa dakwat tersebut mudah dihilangkan dalam pilihan raya kali ini.
- Pemansuhan “pondok panas”
Dalam pilihan raya- pilihan raya yang lepas, semua parti dibenarkan malah digalakkan untuk mengabaikan undang-undang pilihan raya dengan mewujudkan pondok-pondok kempen di luar pusat mengundi semasa hari pengundian. SPR telah menjelaskan bahawa ianya tidak dibenarkan bagi pilihan raya kali ini. Hal ini dilihat menyumbang kepada kurangnya insiden keganasan dan gangguan kepada pengundi dalam pilihan raya umum kali ini.
Walaubagaimanapun, masih terdapat beberapa “pondok panas” yang digunakan untuk kempen Barisan Nasional dan Parti Warisan Sabah, namum tidak ada sebarang tindakan yang diambil oleh pegawai SPR di lapangan.
Kesimpulan
BERSIH 2.0 mengecam SPR atas penglibatannya dalam cubaan menghalang demokrasi dan hak rakyat untuk mengundi.
Aduan-aduan yang diterima oleh BERSIH 2.0 semasa hari pengundian, bersama dengan penyelewengan sebelum manipulasi hari pengundian menunjukkan SPR tanpa mengenal penat lelah bekerja untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional.
Dalam fokus mereka memanipulasi sempadan, bersubahat dengan pengundi hantu, mengurangkan pendaftaran pengundi dan memperkenalkan peraturan baru yang mesra BN, SPR dilihat mengabaikan latihan yang betul kepada petugas pilihan raya dan persediaan bahan-bahan pilihan raya.
Kes-kes seperti kesukaran akses pusat mengundi bagi golongan warga emas, orang kurang upaya masih berlaku kerana kurangnya maklumat dan latihan kepada petugas pilihan raya.
Sikap berat sebelah sesetengah pegawai dalam mengarahkan pengundi mengundi calon-calon tertentu, dan keengganan untuk mengeluarkan salinan Borang 14 kepada ejen pengiraan undi menyebabkan ramai petugas pilihan raya terdedah kepada pertuduhan jenayah.
Insiden yang berlaku di seluruh negara ini adalah refleksi kepada sikap Pesuruhjaya Pilihan Raya sendiri. Dalam kepimpinan mereka, mereka telah mencipta budaya melanggar undang-undang pilihan raya, terutamanya untuk menyebelahi Barisan Nasional.
Sebagai langkah segera untuk laporan ini, BERSIH 2.0 menuntut :
- Perletakan jawatan segera tujuh Pesuruhjaya Pilihan Raya. Sekiranya mereka enggan meletakkan jawatan, proses untuk pemecatan mereka perlu segera diambil.
- Menjatuhkan pertuduhan ke atas semua Pesuruhjaya Pilihan Raya dan sebahagian petugas pilihan raya (rujuk di atas) atas pelanggaran undang-undang sebelum ini, sebelum dan semasa PRU 14. Unit tindakan khas perlu dibentuk daripada kalangan polis dan Majlis Peguam Negara untuk memastikan hal ini diselesaikan.
- Mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja ke dalam sistem pilihan raya bagi memberi laluan kepada reformasi;
Tindakan-tindakan di atas mesti diselesaikan dalam 100 hari.
BERSIH 2.0 akan mengeluarkan laporan komprehensif berkaitan PRU 14 dalam beberapa minggu lagi. Laporan ini akan merangkumi analisis komprehensif berkenaan ketelusan PRU14 dan cadangan penambahbaikan dalam memperbaharui sistem pilihan raya Malaysia. Laporan berkaitan PRU14 akan menambah bilangan laporan, kertas cadangan dan memorandum sedia ada yang menunggu untuk dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan kerajaan hari ini.
Laporan kesalahan atau salah laku pilihan raya masih boleh dilaporkan kepada BERSIH 2.0 secara atas talian di aduan.pemantau.org, atau melalui Whatsapp (011-17721546) atau hubungi 03-79314444.
Disediakan oleh:
Gabungan Pilihan Raya Bersih Dan Adil (BERSIH 2.0)