Gabungan Pilihan Raya Bersih Dan Adil (BERSIH 2.0) menyambut baik kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkenaan pengenalan pilihan raya kerajaan tempatan dalam tempoh tiga tahun ini, di mana warga kota dan bandar boleh memilih Datuk Bandar atau Yang Dipertua Majlis Perbandaran masing-masing.
Tindakan menteri tersebut harus dipuji bagi menggerakkan agenda rakyat yang penting iaitu memperkenalkan semula pilihan raya kerajaan tempatan. Ianya telah lama tertunda akibat penggantungan pilihan raya kerajaan tempatan disebabkan oleh Konfrontasi Indonesia 1965, yang berakhir berikutan pengunduran Presiden Sukarno pada tahun yang sama. Walaubagaimanapun, pilihan raya kerajaan tempatan di Malaysia masih belum dilaksanakan semula sejak daripada itu.
Pelantikan ahli-ahli majlis tempatan oleh kerajaan negeri sejak tahun 1976 adalah taktik subversion terhadap kerajaan yang mempunyai tiga peringkat supaya pengundi tidak lagi boleh memilih parti-parti lain bagi kerajaan tempatan kerana parti yang menguasai kerajaan negeri akan membuat keputusan melantik pihak berkuasa tempatan. Ini menggalakkan naungan politik dan rasuah secara besar-besaran selama beberapa dekad tanpa akauntabiliti kepada orang ramai kerana mereka hanya patuh kepada tuan politik yang melantik mereka.
Kerajaan Pakatan Harapan tidak seharusnya mengulangi kesalahan yang sama seperti dalam pemerintahan Barisan Nasional. Sebaliknya, mereka perlu menunjukkan kepada pengundi bahawa adanya perbezaan daripada kerajaan Barisan Nasional yang memilih untuk melebihkan kawalan politik berbanding memperkasakan rakyat. Kerajaan kini perlu menunjukkan komitmen politik untuk memperkukuh demokrasi tempatan dalam negara dengan mengembalikan undi ketiga kepada rakyat.
BERSIH 2.0 juga menyeru Menteri Zuraida Kamaruddin agar melakukan perbincangan dengan pihak-pihak yang berkaitan, termasuklah pelbagai NGO semasa 6 bulan tempoh kajian apabila kementerian mengumpulkan input relevan berkaitan pembentukan dan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan.
Pada tahun 1950an dan 1960an, pengundi memilih ahli majlis tempatan dan parti majoriti dalam majlis-majlis yang membentuk kerajaan tempatan, yang mana dasar dan perintahnya dilaksanakan oleh birokrasi majlis.
Pilihan raya datuk bandar secara langsung, sebagai ketua eksekutif cabang, adalah satu cadangan yang dialu-alukan bagi memberi mandat kuasa untuk memperkenalkan pembaharuan dan modenisasi dalam Wilayah Persekutuan yang tidak mempunyai sebarang institusi peringkat tempatan yang dipilih, serta bandar-bandar besar yang memerlukan transformasi serius. Dalam bandar yang memilih datuk bandar secara langsung, ahli-ahli majlis yang dipilih masih diperlukan sebagai cabang legislatif bagi menyediakan semak dan imbang eksekutif.
Dalam bidang kuasa tempatan yang lebih kecil yang mana tidak memerlukan datuk bandar yang dipilih secara langsung, majlis tempatan sebagai cabang legislatif mesti dipilih dan ianya secara tidak langsung memilih Yang Dipertua Majlis Perbandaran dan kabinetnya, seperti mana pengamalan sistem Parlimen di peringkat Persekutuan dan Negeri.
BERSIH 2.0 yakin bahawa sikap kerajaan tempatan yang responsif, efisien dan efektif akan dipertingkatkan dalam usaha yang panjang setelah pilihan raya kerajaan tempatan dikembalikan di mana pengundi boleh memilih calon terbaik untuk menguruskan kerajaan tempatan.
Dikeluarkan oleh :
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0