KENYATAAN MEDIA (7 JUN 2018): Jangan Hukum Pengundi Dengan Peruntukan Ahli Parlimen Yang Tidak Sama Rata

Gabungan Pilihan Raya Bersih Dan Adil (BERSIH 2.0) menuntut penjelasan berkenaan rasional di sebalik pengumuman peruntukan berjumlah RM500,000 kepada Ahli Parlimen Pakatan Harapan sementara Ahli Parlimen pembangkang hanya menerima peruntukan sebanyak RM100,000.

Peruntukan tersebut adalah penting bagi pembangunan kawasan-kawasan yang diwakili. Pengundi di kawasan yang dimenangi oleh calon pembangkang atau bebas tidak sepatutnya dihukum atau didiskriminasi hak mereka untuk mengundi dan memilih calon pembangkang atau bebas dengan peruntukan yang tidak sama rata ini. Tambahan pula, peruntukan tidak sama rata seperti itu juga secara tidak adil akan memberi kesan kepada pengundi yang mengundi parti pemerintah dalam PRU 14 yang lalu. Kerajaan Pakatan Harapan seharusnya menghapuskan polisi BN yang lapuk, tidak berpandangan jauh dan penuh diskriminasi sebelum ini.

Sebagai sebuah demokrasi ‘multiparty’ di mana Parlimen dibentuk lebih daripada satu kolasi / parti, adalah penting untuk kesemua wakil yang dipilih menerima peruntukan yang adil memandangkan pembangkang terdiri lebih daripada sekadar Barisan Nasional, seperti PAS, STAR di Sabah dan calon bebas yang dipilih.

Satu lagi isu yang lebih penting untuk dibawa adalah bagaimana peruntukan-peruntukan tersebut digunakan oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional sebelum ini dan akauntabiliti peruntukan tersebut. Adakah ianya benar-benar dibelanjakan untuk rakyat yang memerlukan di kawasan tersebut atau adakah ianya disalahgunakan untuk kepentingan peribadi dan keuntungan politik?

BERSIH 2.0 menyeru agar kerajaan baru mengemukakan garis panduan untuk memastikan perbelanjaan peruntukan tersebut diaudit melalui proses yang telus dan akaun yang diaudit perlu dibuat secara terbuka kepada awam bagi membuktikan perbelanjaan yang bertanggungjawab, akauntabiliti kepada rakyat serta membanteras amalan korup dan nepotistik. Ini perlu dikuatkuasakan kepada semua Ahli Parlimen merentasi parti bagi memastikan rakyat di kawasan-kawasan yang diwakili mendapat manfaat daripada peruntukan tersebut.

BERSIH 2.0 menyambut baik usaha kerajaan untuk melaksanakan reformasi institusi kerajaan dan sivil ke arah memperbaiki demokrasi dan mengangkat hak serta kebajikan rakyat. Dalam masa yang sama, BERSIH 2.0 ingin mengingatkan kerajaan bahawa memandangkan Ahli Parlimen dipilih sebagai wakil kepada rakyat, mereka berhak atas representasi yang sama di Parlimen dan seharusnya dilayan secara adil dan diberikan peruntukan yang sama demi menjaga kepentingan semua pengundi.

Oleh kerana kita ingin mengelak daripada politik perpecahan dan diskriminasi dalam Parlimen untuk menggalakkan politik inklusif, telus dan boleh dipercayai, BERSIH 2.0 menyeru agar pihak kerajaan baru dapat memberikan penjelasan berkaitan peruntukan yang tidak sama rata kepada Ahli-ahli Parlimen.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0