Berikutan perletakan jawatan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Mohd Hashim Bin Abdullah yang berkuatkuasa mulai 1 Julai, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menyeru kerajaan Pakatan Harapan untuk memilih pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya yang baru berdasarkan kriteria integriti, kesaksamaan dan bebas serta mempunyai pengetahuan, pengalaman dan kepakaran yang terbukti dalam undang-undang pilihan raya dan sistem pilihan raya.
Perkara 114(2) Perlembagaan Persekutuan menggariskan keyakinan orang ramai sebagai syarat bagi pelantikan pesuruhjaya pilihan raya. Walaubagaimanapun, untuk menentukan piawaian ‘kepercayaan awam’ yang bersesuaian dengan seorang pesuruhjaya pilihan raya, keadaan ini tidak boleh diambil pada nilai umum dan mesti didefinasikan dengan lebih terperinci lagi kepada kriteria-kriteria berikut sebagai ukuran ‘keyakinan orang ramai’:
1. Rekod prestasi terbukti dalam integriti individu
2. Rekod prestasi terbukti dalam kesaksamaan dan bebas daripada politik kerajaan dan parti
3. Rekod prestasi terbukti dalam pengetahuan / pengalaman / kepakaran mengenai undang-undang pilihan raya dan sistem pilihan raya
BERSIH 2.0 yakin bahawa kriteria ini penting bagi memastikan pengerusi baru Suruhanjaya Pilihan Raya adalah seorang yang bebas, mempunyai keyakinan orang ramai dan kompeten untuk memulakan reformasi bagi memastikan pilihan raya yang bebas dan adil pada masa akan datang.
Set kriteria yang sama seharusnya digunakan juga dalam memilih pesuruhjaya-pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya apabila terdapat kedudukan kosong.
Pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya berdasarkan kriteria ini akan menjadi salah satu langkah penting bagi kerajaan Pakatan Harapan dalam melaksanakan janji pilihan raya untuk memastikan pilihan raya yang bebas dan adil dan memulihkan kepercayaan rakyat dalam pilihan raya, seperti yang dinyatakan dalam Janji ke-17 dalam Manifesto Pakatan Harapan.
Mohd Hashim Abdullah telah berkhidmat sebagai pembantu peribadi kepada Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa selama sembilan tahun iaitu dari tahun 1990 hingga 1999. Beliau pada mulanya dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya pada tahun 2014 dan dinaikkan pangkat menjadi Pengerusi pada bulan Januari 2016. Jelas sekali, pelantikan sedemikian adalah sangat kontradik dengan kriteria yang digariskan di atas. Ia mengikis keyakinan orang ramai terhadap pilihan raya dan menjejaskan demokrasi.
Kerajaan Pakatan Harapan tidak seharusnya mengulangi kesilapan kerajaan Barisan Nasional. Mereka harus menunjukkan bahawa mereka berbeza dengan Barisan Nasional.
Dikeluarkan oleh :
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0