Keputusan Peguam Negara Tepat Dalam Tidak Mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengalu-alukan keputusan Pejabat Peguam Negara untuk tidak mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kes-kes petisyen pilihan raya.
Peranan Jabatan Peguam Negara adalah untuk menasihat kerajaan dan mewakili kerajaan dalam mahkamah. Jikalau Jabatan Peguam Negara menjadi peguambela SPR dalam kes-kes petisyen pilihanraya, ini akan menajdi satu konflik kepentingan yang ketara kerana petisyen pilihanraya melibatkan parti-parti pemerintah. Jabatan Peguam Negara tidak boleh mewakili kedua-dua pihak, iaitu salah satu pihak yang bertanding dalam pilihanraya dan juga SPR yang menjadi pengadil pilihan raya dalam sebarang petisyen pilihan raya.
Jikalau Jabatan Peguam Negara memberi khidmat guaman kepada SPR, ini hanya akan mengukuhkan persepsi negatif orang awam terhadap SPR bahawa ianya sebuah institusi yang berat sebelah kepada kerajaan memerintah dan didokong oleh Jabatan Peguam Negara di mana mandatnya adalah untuk membela kerajaan.
Untuk mengembalikan kepercayaan orang awam terhadap SPR sebagai sebuah institusi yang bebas dan kredibel, maka ada pentingnya Jabatan Peguam Negara tidak terlibat dalam pendengaran petisyen pilihan raya yang akan dating dan SPR perlu melantik peguam swasta untuk mewakilinya.
SPR telah diberikan tanggungjawab untuk menjalankan pilihan raya yang bebas dan adil dan untuk melaksanakan tugas dengan bebas. Akan tetapi, sudah jelas SPR telah gagal dalam melaksanakan tanggungjawabnya dalam PRU ke-14.
Sudah sampainya masa SPR mengambil tanggungjawab terhadap segala kegagalan, sikap berat sebelah dan salah laku dalam mengendalikan PRU ke 14 dan membela mereka sendiri. Masa lampau di mana SPR boleh bergantung kepada Jabatan Peguam Negara untuk melepaskan diri daripada pemeriksaaan awam dan tanggungjawab sudah berakhir.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0