KENYATAAN MEDIA (3 JULAI 2018): Bersihkan Suruhanjaya Pilihan Raya Sebelum Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis

Gabungan Pilihan Raya Bersih Dan Adil (BERSIH 2.0) ingin menzahirkan rasa simpati kepada keluarga dan rakan-rakan ADUN PKR Sungai Kandis, Mat Shuhaimi Shafiei yang telah meninggal dunia semalam.

Dalam masa yang sama, BERSIH 2.0 benar-benar mengambil berat mengenai legitimasi dan integriti pilihan raya kecil di Sungai Kandis yang bakal tiba, sekiranya enam Pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedia ada masih kekal di pejabat pada waktu itu.

Kami menuntut agar para Pesuruhjaya SPR bertanggungjawab terhadap penglibatan mereka atas kegagalan dalam melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke 14 yang bersih, bebas dan adil, sepertimana yang dibuktikan dengan bukti penipuan dan salah laku pengurusan yang jelas semasa pilihan raya. Walaupun bekas Pengerusi SPR Mohamad Hashim Abdullah telah memilih untuk perletakan jawatan awal, tidak seharusnya dinafikan bahawa enam pesuruhjaya yang lain sama-sama tidak kompeten dan tidak layak untuk melaksanakan pilihan raya dan telah berniat memanipulasi Pilihan Raya Umum Ke 14.

Memandangkan pilihan raya kecil Sungai Kandis bakal diadakan segera, kami sekali lagi menuntut perletakan jawatan segera pesuruhjaya SPR yang selebihnya. Sekiranya mereka enggan meletakkan jawatan, satu tribunal untuk penyingkiran mereka mesti ditubuhkan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Kami juga ingin menegaskan sekali lagi bahawa pelantikan Pengerusi dan para pesuruhjaya baru bagi SPR yang berintegriti, tidak berpihak dan bebas daripada parti politik serta mempunyai kepakaran dalam hal ehwal pilihan raya perlu diselesaikan secepat mungkin. Langkah ini adalah penting dan segera untuk mengembalikan kepercayaan awam sebelum pilihan raya kecil Sungai Kandis yang akan berlangsung dalam tempoh beberapa bulan sahaja lagi.

Dikeluarkan oleh :
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0