Kenyataan Media (4 Julai 2018): Institusikan Penempatan Suruhanjaya Pilihan Raya dan Lain-lain Di Bawah Parlimen

Gabungan Pilihan Raya Bersih Dan Adil (BERSIH 2.0) mengucapkan tahniah kepada kerajaan Pakatan Harapan atas perubahan yang dilakukan dalam Jabatan Perdana Menteri dengan meletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Jabatan Pendakwa Raya dan Jabatan Audit Negara di bawah parlimen.

 

Ini adalah langkah yang penting ke arah reformasi institusi dengan menjadikannya benar-benar bebas dan terus kepada parlimen.

 

Walaubagaimanapun, sekadar menukar tempat institusi-institusi ini adalah tidak mencukupi. Bagi memastikan reformasi besar-besaran untuk berakar umbi dan diinstitusikan, undang-undang yang membolehkan institusi-institusi ini berfungsi perlu dipinda untuk menggambarkan perubahan tersebut sekurang-kurangnya dengan cara yang berikut:

 

  1. Undang-undang yang membenarkan institusi-institusi ini perlu mempunyai peruntukan yang jelas bahawa mereka akan melaporkan secara terus kepada Parlimen tanpa perlu melalui Jabatan Perdana Menteri untuk permohonan atau pengesahan. Sehingga kini, tidak ada sebarang peruntukan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1954 yang menyatakan kayu ukur akauntabiliti bagi dua institusi ini;

 

  1. Laporan institusi-institusi ini perlu dibahas dan disahkan, dan bukan sekadar dibentangkan kepada Parlimen, sepertimana laporan SUHAKAM yang dibentangkan tanpa dibahas;

 

  1. Pindaan undang-undang juga perlu memastikan bajet bagi institusi-institusi ini berada di bawah bajet Parlimen dan bukan di bawah bajet Jabatan Perdana Menteri. Kebebasan fiskal institusi-institusi ini daripada cabang eksekutif adalah penting untuk memastikan insiden berkaitan dorongan politik seperti bajet SUHAKAM dipotong separuh oleh cabang eksekutif di bawah rejim Barisan Nasional dapat dicegah pada masa akan datang;

 

  1. Proses pelantikan ahli-ahli institusi perlu dirombak untuk menggalakkan proses yang telus, bertanggungjawab beserta penyertaan awam dan bukan sekadar dilantik oleh cabang eksekutif. Ini akan memastikan calon terbaik dipilih untuk posisi tersebut;

 

  1. Institusi-institusi bebas ini perlu diberi kuasa untuk merekrut, menggantung atau memecat staf mereka.

 

Sekiranya perubahan-perubahan ini tidak diinstitusikan mengikut undang-undang, penempatan institusi-institusi tersebut di bawah Parlimen berdasarkan arahan pentadbiran boleh dibatalkan pada bila-bila masa.

 

BERSIH 2.0 mendesak semua ahli parlimen untuk menyokong reformasi seperti ini semasa perbahasan parlimen untuk mengukuhkan demokrasi.

 

Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0