KENYATAAN MEDIA (25 JULAI 2018): Program Belanja Durian’ Semasa Kempen Pilihan Raya Kecil Satu Kesalahan Pilihan Raya

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menerima poster berkaitan sebuah majlis yang melibatkan penjamuan kepada semua yang hadir dengan 1000 biji durian daripada Batu Kurau, Perak bersempena pelancaran ‘food truck’ KOHIJRAH dan Kedai Serbaneka De’ Variety Koperasi NEGM. Majlis tersebut akan diadakan pada 28 Julai 2018 bertempat di No. 44 & 46, Jalan Sungai Rasau E32/E, Berjaya Park, Seksyen 32, Shah Alam. Majlis tersebut ternyata diadakan dalam kawasan Sungai Kandis dan dalam tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis.

Tambahan pula, dalam poster tersebut dimaklumkan bahawa calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil tersebut, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Menteri Besar Selangor YAB Amirudin Bin Shari akan menghadiri program tersebut.

BERSIH 2.0 menolak amalan korupsi tersebut, dan sekiranya diadakan, ianya bertepatan dengan salah laku pilihan raya di bawah Perkara 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya kerana melibatkan penjamuan untuk mempengaruhi undi daripada para pengundi.

Berdasarkan poster itu juga, majlis tersebut dianjurkan oleh KOHIJRAH, iaitu satu program mikrokredit di bawah Menteri Besar Selangor, yang telah dilancarkan secara rasmi pada tahun 2015 sebagai inisiatif untuk melebarkan golongan kelas menengah di Selangor. Dengan menjadikan KOHIJRAH sebagai penganjur, ianya bukan sahaja satu bentuk konflik kepentingan, bahkan ianya juga satu bentuk penyalahgunaan jentera kerajaan untuk membantu kempen Zawawi Mughni, calon PKR yang merupakan salah satu parti komponen bagi pakatan pemerintah di Selangor, iaitu Pakatan Harapan.

BERSIH 2.0 dengan ini menyeru agar majlis tersebut dibatalkan dengan kadar segera. Menteri Besar Selangor dan calon PKR, Zawawi Mughni juga perlu memberikan penjelasan kepada umum berkaitan penganjuran majlis tersebut.

Kami menyeru semua pihak untuk mengelakkan diri daripada amalan penipuan pilihan raya, termasuk penyamaran, penjamuan makanan, pengaruh tidak wajar melalui pemberian barangan atau ancaman dan intimidasi, serta rasuah termasuk pembelian undi dan penyalahgunaan jentera kerajaan.

BERSIH 2.0 mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan bahawa rakyat mengundi untuk perubahan pada Pilihan Raya Umum ke 14 – perubahan dan penolakan ke atas 61 tahun pemerintahan Barisan Nasional yang telah dirosakkan oleh korupsi, kronisme dan nepotisme secara besar-besaran.

Pakatan Harapan perlu mengangkat manifesto mereka, yang menjanjikan untuk membersihkan Malaysia daripada korupsi, salah laku dalam pemerintahan serta kleptokrasi, iaitu dalam Janji 14 berkenaan memperkukuhkan amalan anti rasuah dan Janji 17 berkenaan memastikan ketelusan dan pengukuhan sistem pilihan raya.

Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0