KENYATAAN MEDIA (26 JULAI 2018) : Penangguhan ‘Program Belanja Durian’ Adalah Keputusan Yang Terbaik

Gabungan Pilihan Raya Bersih Dan Adil (BERSIH 2.0) menyambut baik kenyataan yang dikeluarkan oleh Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH) dan Koperasi Kakitangan NEGM Berhad untuk menangguhkan pesta durian percuma di kawasan Sungai Kandis yang akan mereka anjurkan pada 28 Julai dengan kehadiran calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zawawi Mughni dan Menteri Besar Selangor, YAB Amirudin Shari.
Kami mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua agensi kerajaan negeri tersebut atas kesedaran tentang kebimbangan yang diketengahkan oleh BERSIH 2.0 serta menunjukkan contoh teladan dalam menyokong pilihan raya yang bersih, bebas dan adil. Satu tindakan yang baik apabila pihak yang berkenaan menangguhkan majlis tersebut sehingga selesai pilihan raya kecil.
Kami berharap agar taktik kempen pilihan raya seperti itu tidak kembali berulang dalam pilihan raya kecil Sungai Kandis dan juga dalam mana-mana pilihan raya di Malaysia pada masa akan datang. Kami mendesak semua ahli politik, terutama yang berada di posisi kerajaan untuk menolak sebarang jemputan yang menggabungkan majlis kerajaan dengan aktiviti kempen pilihan raya parti politik.
BERSIH 2.0 menyeru agar ketiga-tiga calon dan parti-parti mereka agar berkempen berdasarkan pelan, program dan polisi mereka yang akan menguntungkan rakyat dalam memenangi undi para pengundi di Sungai Kandis. Tidak ada tempat bagi penipuan pilihan raya seperti pembelian undi, pemberian barangan serta perbuatan mencetuskan kebencian kaum dan agama, dalam Malaysia baharu.
Dikeluarkan oleh :
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0