Rayuan untuk Menubuhkan Tribunal untuk Menyiasat Salah Laku Anggota Suruhanjaya Pilihan Raya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14

 

Pejabat Perdana Menteri Malaysia

Blok Utama, Bangunan Perdana Putra

Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan

62502 Putrajaya,

Malaysia                                                                                                                              14 Ogos 2018

 

YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad,

 

PER: Rayuan untuk Menubuhkan Tribunal untuk Menyiasat Salah Laku Anggota Suruhanjaya Pilihan Raya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14

 

Gabungan Pilihan Raya Bersih & Adil (BERSIH 2.0) ingin menyatakan rayuan ini kepada YAB Tun supaya menubuhkan tribunal untuk menyiasat salah laku tujuh anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membawa kepada salah urus dan penipuan secara besar-besaran dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

 

Tujuh anggota SPR tersebut ialah:

  1. Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, mantan Pengerusi
  2. Tan Sri Othman bin Haji Mahmood, Timbalan Pengerusi
  3. Dato’ Md Yusop bin Haji Mansor, ahli
  4. Datuk Haji Abdul Aziz bin Khalidin, ahli
  5. Haji Sulaiman bin Haji Narawi, ahli
  6. Dato’ Bala Singam a/l Karupiah, ahli
  7. Dato’ Leo Chong Cheong, ahli

 

Demokrasi ialah asas negara kita. Pilihan raya umum adalah salah satu mekanisme yang paling penting untuk memastikan demokrasi kita berfungsi. Dengan memanipulasi sistem pilihan raya untuk memastikan kemenangan parti politik tertentu di PRU14, anggota-anggota SPR ini bukan sahaja merosakkan kesaksamaan, kebebasan dan integriti SPR, bahkan mereka juga mencabuli hak asasi rakyat untuk memilih kerajaan baru dan mengancam asas demokrasi kita.

 

Kesalahan utama anggota-anggota SPR ialah:

 

  1. Persempadanan semula yang tidak berperlembagaan secara gerrymandering dan malapportionment

SPR telah menjalankan persempadanan semula untuk Sarawak (2015) dan Sabah serta Semenanjung Malaysia (2016-2018). Melalui malapportionment dan gerrymandering, pelaksanaan tersebut bertujuan untuk membantu BN menang lebih banyak kerusi marginal di peringkat negeri dan persekutuan. Sebagai contoh, nisbah malapportionment telah bertambah buruk dalam persempadanan semula Semenanjung Malaysia 2018 dengan nisbah 4.05 di Selangor berbanding dengan nisbah 1.20 di Perlis berdasarkan nisbah kawasan terkecil dan kawasan terbesar di negeri masing-masing. Proses mengikut perlembagaan seringkali disisihkan untuk mencapai matlamat ini. Sempadan kawasan pilihan raya juga didapati diubah sebelum proses mengikut perlembagaan bermula.

 

  1. Batasan pendaftaran pengundi dan manipulasi daftar pemilih

Dari PRU13 hingga PRU14, BERSIH 2.0 telah mengesan usaha berterusan SPR untuk memanipulasi daftar pemilih supaya memihak kepada BN, terutamanya dalam kerusi marginal seperti Lembah Pantai, Wangsa Maju, Sungai Besar, Bera, Segamat dan Bagan Datuk. Terdapat juga sekatan yang dikenakan ke atas pendaftaran pengundi oleh parti politik pembangkang dan NGO walaupun terdapat kira-kira 4 juta pengundi yang layak tetapi belum mendaftar. Kebanyakan mereka ialah golongan muda dan belum mendaftar sebagai pengundi menjelang PRU14. Walau bagaimanapun, NGO-NGO dan parti-parti yang berkait rapat dengan Barisan Nasional (BN) dapat menjalankan pendaftaran pengundi tanpa halangan. UMNO juga melakukan usaha untuk menghalang pendaftaran pengundi bukan Melayu di negeri Selangor sejak 2015. Di samping itu, terdapat kira-kira 2.6 juta pengundi dalam daftar pemilih dipersoalkan tetapi gagal dibersihkan oleh SPR sebelum PRU14, seperti pendaftaran tanpa alamat, alamat tidak lengkap, pengundi yang telah meninggal, pendaftaran berulang dan lain-lain. Banyak masalah ini telah dibangkitkan oleh Jawatankuasa Terpilih Parlimen mengenai Pembaharuan Pilihan Raya sejak tahun 2012.

 

  1. Menetapkan hari mengundi pada hari minggu

SPR mengumumkan tarikh pilihan raya umum pada 10 April 2018 dan menetapkan hari mengundi pada hari Rabu, 9 Mei 2018. Walaupun Perdana Menteri Najib Razak kemudiannya mengisytiharkan hari tersebut sebagai cuti umum selepas bantahan orang ramai, hari mengundi pada pertengahan minggu tetap ialah cubaan untuk menghalang pengundi yang bekerja atau belajar di kawasan bandar untuk pulang ke kawasan luar bandar dan mengundi. Analisa trend pengundian sebelum ini menunjukkan pengundi kawasan bandar lebih cenderung untuk tidak mengundi BN berbanding dengan yang tinggal di kawasan luar bandar. SPR tidak memberi penjelasan tentang mengapa hari mengundi ditetapkan pada hari minggu dan bukannya hujung minggu.

 

  1. Tempoh berkempen 11 hari

SPR telah menetapkan tempoh kempen yang paling singkat untuk PRU14. Ini memihak kepada parti memerintah dan tidak memberi masa yang cukup supaya undi pos dapat dikembalikan. Hal ini terutamanya berlaku pada pengundi luar negara yang dianggap sebagai blok pengundi anti-BN. Ramai warga Malaysia yang tinggal atau bekerja di luar negara mengadu bahawa mereka lambat menerima kertas undi dan tidak mempunyai masa yang cukup untuk menghantar kertas undi mereka. Seorang pengundi di Arab Saudi menerima kertas undi pada 22 Mei 2018, iaitu 13 hari selepas hari mengundi.

 

  1. Syarat bahan kempen pada minit terakhir

Pada 24 April 2018 iaitu empat hari sebelum hari penamaan, SPR mengumumkan syarat-syarat baru mengenai bahan kempen. Syarat-syarat ini mengehadkan individu yang boleh dipaparkan pada bahan kempen kepada calon, presiden dan timbalan presiden parti. Ia hanya membenarkan logo parti yang bertanding atau parti komponen dalam gabungan parti yang berdaftar untuk dipaparkan. Ini merupakan percubaan yang jelas untuk menghalang pemimpin Pakatan Harapan, Mahathir Mohamad daripada dipaparkan dalam bahan kempen selepas partinya dibubarkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada awal bulan itu.

 

  1. Manipulasi pemerhatian pilihan raya antarabangsa dan tempatan

SPR mengumumkan pada 10 April 2018 bahawa mereka telah melantik 11 NGO, tiga universiti awam dan 14 negara untuk memerhati PRU14. Permohonan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk menjadi pemerhati yang diiktiraf telah ditolak. Pemerhati dari Azerbaijan, India, Indonesia, Kemboja, Kyrgyzstan, Maldives, Pakistan, Thailand dan Uzbekistan hanya tiba dua hari sebelum hari mengundi. SPR tidak memberi sebarang maklumat lanjut mengenai skop, terma rujukan dan status pemerhati. Majlis Belia Malaysia, salah satu pemerhati tempatan yang diiktiraf mengadakan acara kempen di seluruh negara untuk Barisan Nasional.

 

  1. Pembatalan kelayakan calon dengan sembarangan

Dua calon Pakatan Harapan telah dibatalkan kelayakan secara haram pada hari penamaan calon. Chua Tian Chang (Tian Chua), calon PH Batu dibatalkan kelayakan oleh pegawai pengurus kerana beliau dihukum denda RM2,000 pada Mac 2018 walaupun keputusan Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa denda melebihi RM2,000 diperlukan untuk membatalkan kelayakan ahli parlimen. Calon PH DUN Rantau di Negeri Sembilan dihalang daripada memasuki pusat penamaan calon kerana dia tidak mempunyai pas rasmi SPR. Hal ini adalah bertentangan dengan garis panduan SPR yang menyatakan pas tidak diperlukan bagi calon untuk menghantar borang pencalonan mereka. Di kawasan pilihan raya lain, calon dan individu lain dapat memasuki pusat penamaan tanpa pas tersebut.

 

  1. Masalah pengundian awal

BERSIH 2.0 dan ENGAGE telah melaporkan sebelum PRU14 bahawa mereka telah mengesan 3,525 pegawai polis bersara masih diklasifikasikan sebagai pengundi awal, termasuk dua bekas ketua polis negara, walaupun peraturan menyatakan bahawa hanya anggota yang berkhidmat layak menjadi pengundi awal. Di samping itu, terdapat juga masalah kerahsiaan undi dan jagaan keselamatan kertas undi untuk pengundian awal oleh anggota polis dan tentera yang mengundi lima hari lebih awal daripada pengundi biasa.

 

  1. Perjalanan pilihan raya pada hari mengundi

Banyak aduan telah diterima pada hari mengundi, 9 Mei 2018 seperti kesilapan label peti undi, anggota polis bertugas merekodkan etnik pengundi, kertas undi yang salah dicetak, kertas undi tidak dicap, kertas undi yang bertanda, nama tidak potong dalam daftar pemilih mengikut peraturan, penyamaran dan pengundi hantu, kesulitan dalam mengakses ke pusat mengundi, ketua tempat mengundi enggan memberi salinan keputusan pengiraan undi (Borang 14) kepada ejen mengira undi dan lain-lain.

 

  1. Kegagalan untuk mengambil tindakan terhadap kesalahan pilihan raya

Terdapat banyak kes kesalahan pilihan raya yang berlaku dalam PRU14, termasuk rasuah dan pembelian undi, penjamuan dan pemberian hadiah, penggunaan jentera kerajaan, pemberian yang tidak wajar oleh kerajaan, perbelanjaan yang berlebihan, kelakuan berat sebelah institusi awam dan pegawai pilihan raya, mencetuskan kebencian kaum dan agama semasa berkempen, berkempen pada hari mengundi dan sebagainya. Walau bagaimanapun, SPR tutup sebelah mata dan gagal mengambil tindakan terhadap insiden-insiden tersebut.

 

Perlu diingat bahawa lima anggota SPR yang dilantik antara 2013 dan 2018, termasuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusi, ialah penjawat awam sebelum itu. Lebih teruk lagi, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah ialah pembantu peribadi kepada Ketua Penerangan UMNO Annuar Musa dari tahun 1990 hingga 1999. Timbalan Pengerusi semasa, Tan Sri Othman bin Mahmood pernah bekerja di Jabatan Perdana Menteri dari 2007 dan 2017 dan berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Kanan di Jabatan Perdana Menteri di bawah Najib Razak dari tahun 2011 hingga 2017. Pelantikan sebegini gagal memberi keyakinan orang ramai terhadap kesaksamaan para anggota SPR. Sudah jelas bahawa sejak pelantikan mereka, SPR tidak berusaha meningkatkan integriti PRU14 dan sebaliknya berusaha untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional.

 

Walaupun pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah telah meletak jawatan dan meninggalkan SPR pada 1 Julai 2018 untuk bersara awal dan enam anggota lain masih berada di SPR, mereka semua harus dipertanggungjawabkan terhadap salah laku dalam PRU14 dan disingkir daripada SPR.

 

Perkara 114(2) Perlembagan Persekutuan telah memperuntukan:

“Dalam pelantikan anggota-anggota Suruhanjaya Pilihan Raya, Yang di-Pertuan Agong perlu mengambilkira betapa pentingnya memastikan sebuah Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat kepercayaan orang awam.”  

 

Sudah jelas anggota-anggota SPR sekarang sudah kehilangan kepercayaan orang awam terhadap mereka. Untuk tujuan ini, kami merayu kepada YAB Tun supaya memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan satu tribunal untuk menyiasat salah laku anggota-anggota SPR dengan matlamat untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap kebebasan dan kesaksamaan SPR serta menyelamatkan demokrasi kita.

 

Perhatian YAB Tun dalam perkara ini didahului dengan ucapan terima kasih.

 

……………………………………….

(SHAHRUL AMAN MOHD SAARI)

PEMANGKU PENGERUSI

BAGI PIHAK JAWATANKUASA PEMANDU BERSIH 2.0