KENYATAAN MEDIA (20 SEPTEMBER 2018): PENANGKAPAN NAJIB RAZAK ADALAH KEMENANGAN BUAT RAKYAT MALAYSIA

Kenyataan Media

20 September 2018

BERSIH 2.0 menyambut baik penangkapan Dato Seri Najib Razak atas tuduhan skandal RM2.6 billion dana 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau.

Beliau telah ditangkap pada pukul 4.13 petang di Ibu Pejabat di Putrajaya.

Menurut SPRM, Najib akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Kebangkitan rakyat pada pada Pilihan Raya Umum ke-14 juga antaranya berpunca daripada isu rasuah dan skandal 1MDB Najib yang telah sekian lama tidak diendahkan oleh kerajaan Barisan Nasional dahulu.

Perhimpunan Bersih 4 yang telah diadakan pada tahun 2015 telah menggesa Dato’ Seri Najib Razak untuk meletakkan jawatan serta supaya beberapa penambahbaikan institusi dilaksanakan bagi menghentikan korupsi di peringkat tertinggi yang berlarutan sejak zaman pentadbiran Barisan Nasional.

Penangkapan ini adalah kemenangan buat seluruh rakyat Malaysia daripada Perlis hingga ke Sabah yang telah turun ke jalan raya selama 36 jam dalam perhimpunan Bersih 4 bagi membersihkan negara ini daripada rasuah dan salah guna kuasa dan semua rakyat yang hadir mendokong tuntutan perubahan dalam perhimpunan Bersih 5.

Bersih 2.0 juga menuntut agar Jho Low dan kesemua individu-individu yang terlibat dengan Najib Razak dalam skandal 1MDB dan penyelewengan wang rakyat turut di bawa ke muka pengadilan.

Semoga siasatan SPRM berjalan dengan lancar, telus dan adil serta diharapkan kemenangan berpihak kepada kebenaran.

Dikeluarkan oleh:

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0