KENYATAAN MEDIA (4 Oktober 2018): PRK Seri Setia dan Balakong: Kesalahan Berulang walaupun Parti Berikrar Berkempen Secara Bersih

 

Gabungan Pilihan Raya Bersih Dan Adil (BERSIH 2.0) pada hari ini mengeluarkan laporan pemerhatian Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia dan Balakong yang telah berlangsung pada 08 September 2018.

Pemerhatian pilihan raya kecil kali ini telah dilakukan bermula dari 18 Ogos 2018 dan berakhir pada 08 September 2018.
BERSIH 2.0 mengalu-alukan penambahbaikkan yang telah dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terutama dalam memanjangkan tempoh waktu berkempen dari 14 hari ketika PRK Sungai Kandis ke 21 hari untuk PRK Seri Setia dan Balakong. Hal ini memberi tempoh yang cukup kepada pengundi luar untuk negara untuk menghantar undi mereka balik ke Malaysia.

Walaubagaimanapun, tarikh hari mengundi yang telah ditetapkan iaitu satu hari sebelum cuti Panjang selama empat hari telah menyebabkan peratus keluar mengundi menjadi rendah iaitu 43% di Balakong dan 44.1% di Seri Setia.

Kedua-dua PRK ini secara keseluruhannya berjalan dengan lancar, namun terdapat beberapa kes yang agak merisaukan telah berlaku:

1. Di Balakong, pengundian pos dan undi awal telah dilakukan dengan tidak mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

2. Di Balakong, terdapat pengundi yang tersalah masuk pusat mengundi dan hanya disedari kesilapan ini apabila pengundi tersebut telah mencelup jarinya dan ini telah menyebabkan pengundi tersebut tidak dapat mengundi di pusat mengundi asalnya.

3. Di Seri Setia, pemerhati pilihan raya telah tidak dibenarkan masuk ke saluran di pusat mengundi Politeknik Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, tetapi telah diperbetulkan oleh pegawai SPR yang hadir.

4. Di Balakong dan Seri Setia, mendidapati dewan terbuka di dalam sekolah yang digunakan untuk beberapa saluran mengundi tidak begitu sesuai kerana terlalu banyak gangguan dan juga dari saluran yang berdekatan antara satu sama lain.

5. Pondok panas tetap juga didirikan oleh parti politik walaupun tidak dibenarkan oleh undangundang.

BERSIH 2.0 percaya perkara ini berlaku terutamanya kerana latihan yang kurang efektif dan tidak mencukupi kepada petugas pilihan raya dan penguatkuasan undang-undang yang lemah.

Walaubagaimanapun, masalah utama bagi kedua-dua Pilihan Raya ini adalah terletak pada kempen pilihan raya Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Malaysian Chinese Association (MCA) and Pakatan Harapan (PH). Kempen-kempen ini telah berterusan dicemari oleh kesalahan pilihan raya walaupun Presiden Parti Keadilan Rakyat Wan Azizah dan calon MCA, Tan Chee Teong telah berikrar untuk menjalankan kempen pilihan raya yang bersih.

Di Seri Setia, BERSIH 2.0 telah merakamkan sebanyak 7 kes yang berkenaan dengan kesalahan pilihan raya sewaktu berkempen. Kedua-dua calon dari PAS dan Pakatan Harapan telah didapati mengadakan jamuan dan memberi hadiah percuma kepada pengundi. Contohnya, calon PAS, Dr Halimah Ali mengagihkan hamper kepada penduduk sekitar kawasan Surau Darul Hidayah. Pakatan Harapan juga telah dilihat mengagihkan T-shirt putih percuma kepada penduduk kawasan Desa Mentari yang hadir pada waktu ceramah.

Dr Halimah telah didapati berkempen untuk diri sendiri di laman Facebooknya pada hari mengundi, dan ini telah melanggar seksyen 26 Akta Kesalahan Pilihan Raya. Beliau jelas menyatakan dalam kenyataan akhir beliau di laman Facebooknya iaitu “jangan lupa mengundi Dr Halimah untuk N.132 kawasan DUN Seri Setia”. Calon PKR Halimey Abu Bakar juga telah memuatkan satu kenyataan berkempen pada hari mengundi.

Di Balakong, BERSIH 2.0 telah merakamkan sebanyak 8 kes yang berkenaan dengan kesalahan pilihan raya sewaktu berkempen. Calon MCA Tan Chee Teong contohnya telah menjalankan aktiviti pemeriksaan kesihatan percuma di Taman Murni. Terdapat juga makanan percuma seperti sate dan roti canai sewaktu ceramah akhir MCA sehari sebelum hari pengundian.

Beberapa menteri Pakatan Harapan telah didapati menggunakan kereta rasmi kerajaan untuk hadir ke ceramah-ceramah kempen di Balakong.

Namun, MCA juga telah menjadi mangsa kepada taktik kempen yang kotor. Kira-kira 100 buah bunting kempen MCA yang dipasang di Kwan Tung Baru, Sungai Chua telah diturunkan dan dibuang meratarata di jalan raya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

BERSIH 2.0 menyeru kepada semua parti politik untuk:

1. Berhenti menggunakan taktik kempen dengan penjamuan makanan atau pemberian hadiah untuk meraih undi pengundi.

2. Berhenti menggunakan aset kerajaan, sumber, agensi dan program untuk meraih undi.

3. Calon-calon dan juga parti politik juga seharusnya mematuhi peraturan dengan tidak berkempen pada hari mengundi untuk memberi ruang kepada pengundi membuang undi dengan fikiran yang jelas dan tidak bias.
BERSIH 2.0 telah menyerahkan laporan-laporan ini kepada SPR yang mengandungi segala kesalahan pilihan raya untuk pihak SPR mengambil tindakan yang lebih lanjut.

Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0