Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menyatakan rasa bimbang tentang kemungkinan penerimaan ahli parlimen UMNO yang melompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagaimana yang didedahkan oleh Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Tindakan ahli-ahli parlimen yang melompat parti adalah satu pengkhianatan terhadap mandat yang diberikan oleh pengundi yang mengundi mereka atas parti yang mereka tandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas.
Tindakan tersebut juga adalah satu penghinaan kepada demokrasi apabila ahli parlimen parti yang kalah pada pilihan raya seperti UMNO dengan mudah menyeberang kepada parti yang memerintah dan menikmati kejayaan dan manfaat sebagai kerajaan, dan bukannya menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang dalam demokrasi.
Persoalan yang berbangkit juga adalah adakah selepas ini ahli-ahli parlimen UMNO tersebut akan dibawa ke muka pengadilan untuk perbuatan mereka yang telah menyalahgunakan kuasa dan korup di bawah rejim terdahulu selepas mereka diterima dalam gabungan pemerintah.
Banyak pihak telah memberi cadangan kepada kerajaan untuk menggubal undang-undang anti lompat parti. Walaubagaimanapun, undang-undang anti lompat parti telah diputuskan sebagai melanggar hak kebebasan berpersatuan sebagaimana dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan oleh mahkamah persekutuan dalam kes melibatkan dewan undangan negeri Kelantan dan Nordin Salleh pada tahun 1992.
Isu lompat parti beramai-ramai ini menunjukkan adanya percanggahan di dalam sistem kita yang memerlukan satu pertimbangan yang berhati-hati untuk mencari jalan penyelesaian tatkala demokrasi semakin hidup dan berkembang dalam negara ini. Di satu sudut, penggubal undang-undang harus mempunyai kebebasan untuk bercanggah dengan pendirian parti supaya debat di parlimen menjadi lebih bermakna. Dari satu sudut yang lain pula, ahli parlimen melompat secara gerombolan akan memudaratkan demokrasi kerana ianya dapat mengubah keputusan pilihan raya dan menyebabkan ketidakstabilan dengan menimbulkan perlawanan antara parti untuk mengawal pembelotan.
BERSIH 2.0 mengulangi seruan untuk membahaskan dengan lebih mendalam sistem pilihan raya dan sistem parti politik dalam kerangka agenda pembaharuan sistem pilihan raya. BERSIH 2.0 menggesa agar parti-parti Pakatan Harapan untuk bertindak dengan penuh bertanggungjawab sebagai parti di dalam kerajaan untuk tidak menimbulkan gangguan dan ketidakstabilan kepada sistem politik hanya selepas enam bulan bertukarnya kerajaan.
Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan harus ingat bahawa rakyat Malaysia tidak menukar kerajaan Barisan Nasional untuk melihat aktiviti melompat parti secara besar-besaran hanya untuk mendapat jawatan atau untuk kepentingan peribadi. Ia juga akan dilihat sebagai jalan untuk meloloskan diri daripada pendakwaan kerana rasuah atau jenayah.
Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0