Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil(Bersih 2.0) menggesa kerajaan untuk memaparkan laporan Majlis Penasihat Kerajaan(CEP) dan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi(IRC) kepada orang awam serta mengumumkan tindakan yang telah diambil daripada cadangan-cadangan pembaharuan oleh IRC dan CEP.
Majlis Penasihat Kerajaan ditubuhkan pada 12 Mei dan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi pula ditubuhkan pada 15 Mei 2018 oleh kerajaan baharu selepas kemenangan pada PRU14 yang lepas. CEP dan IRC ditubuhkan bagi memberi nasihat berkenaan hal ehwal ekonomi serta memberi cadangan reformasi institusi kepada kerajaan.
IRC telah menghantar laporan mereka kepada CEP pada 16 Julai dan CEP telah menghantar laporan kepada Perdana Menteri pada 7 Ogos. Walaubagaimanapun pada 27 Ogos Perdana Menteri mengatakan kepada media bahawa laporan tersebut tidak akan dibuat secara umum.
CEP telah menemubual 350 orang daripada 300 organisasi manakala IRC telah mengadakan perbincangan dengan organisasi gerakan sivil dan menyemak lebih 1,000 cadangan bertulis daripada orang awam dan pemegang taruh.
Apabila orang awam dijemput untuk memberi cadangan, ada harapan bahawa cadangan dan pandangan mereka akan diambil berat di dalam cadangan yang dikemukakan oleh IRC dan CEP. Bagaimanakah orang awam akan tahu sekiranya pandangan dan cadangan daripada mereka telah diambil maklum secara serius sekiranya laporan tersebut tidak dilaporkan kepada umum?
Kurangnya ketelusan serta akauntabiliti menatijahkan terhakisnya kepercayaan umum kepada kerajaan Pakatan Harapan. Salah satu sebab utama kerajaan PH dipilih adalah kerana janji kerajaan untuk mengangkat ketelusan dan integriti dengan lebih baik daripada kerajaan sebelumnya. Kerajaan Pakatan Harapan tidak wajar mengulangi kesilapan yang lalu.
Justeru hak untuk mendapatkan maklumat yang telus adalah asasi untuk pentadbiran yang telus dan berakauntabiliti. Terdapat keperluan untuk laporan itu dibuka kepada umum, samada sebagai kertas putih atau kertas hijau supaya orang ramai dapat menyemak dan menilai cadangan yang dikemukakan serta mencambahkan perbincangan peringkat awam yang juga selari dengan Janji 16 Manifesto Pakatan Harapan
Sekiranya ada unsur di dalam laporan tersebut boleh menggugat ketenteraman awam atau keselamatan negara, maka perkara tersebut boleh dikeluarkan daripada laporan namun ianya tidak wajar menjadi halangan kepada pengeluaran laporan kepada awam.
Kami sekali lagi menekan seruan untuk memperkenalkan undang-undang maklumat sebagai hak nasional bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti. Manifesto Pakatan Harapan untuk menggubal Akta Kebebasan Maklumat sebagai sebahagian perjuangan menentang rasuah adalah dipuji dan harus dipenuhi tanpa lengah lagi.
Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0