Bersih 2.0 melahirkan rasa bimbang terhadap kenyataan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik semasa ucapan penggulungan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat semalam. Menurut beliau, ahli parlimen pembangkang perlu mendapatkan kebenaran daripada Pengarah Pendidikan Negeri untuk memasuki sekolah di kawasan mereka.
Sekiranya ada kebimbangan terhadap ahli politik memasuki sekolah maka seharusnya polisi-polisi yang dirangka perlu terpakai kepada semua ahli politik daripada semua parti.
Kami tidak mempersoalkan hak Menteri Pendidikan untuk melaksanakan polisi atau menyediakan garis panduan bagi melindungi sekolah daripada pengaruh negatif, tetapi kami mempersoalkan polisi-polisi yang berat sebelah.
Maszlee Malik perlu sedar bahawa mendiskriminasi ahli parlimen pembangkang yang dipilih secara demokratik adalah perbuatan yang tidak menghormati pilihan pengundi di kawasan mereka. Di dalam demokrasi multi-parti, pengundi mempunyai hak untuk memilih wakil daripada parti-parti yang bertanding dan mereka tidak wajar dinafikan khidmat oleh wakil rakyat yang terpilih walaupun wakil itu dipihak pembangkang selepas pilihan raya berlalu.
Pihak pembangkang semasa pemerintahan BN selalu mengadu bahawa mereka tidak dibenarkan memasuki sekolah awam walhal wakil rakyat BN dibenarkan. Persoalan besar adalah adakah kerajaan baharu Pakatan Harapan akan berbuat perkara yang sama kepada pembangkang apa yang mereka lawan dahulu semasa mereka masih bergelar pembangkang?
Adalah menjadi kebiasaan untuk sekolah menjemput ahli parlimen di kawasan mereka menghadiri acara-acara di sekolah. Sekiranya kerajaan bimbang mesej yang dibawa oleh ahli politik tidak sesuai untuk suasana persekolahan dan pendidikan maka kerajaan sewajarnya membuat satu panduan atau prosedur operasi piawai yang tidak mengenal parti untuk semua ahli politik yang ingin menziarahi sekolah-sekolah.
Kami dengan itu menggesa Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk menarik semula arahan tersebut dengan segera dan menggantikannya dengan panduan yang lebih sesuai dan tidak berat sebelah untuk semua ahli politik yang dijemput ke acara atau majlis di sekolah.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0