Kenyataan Media (28 November 2018): Pemendekkan Tempoh Perkhidmatan Dato’ Bala Singam

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengalu-alukan keputusan Dato’ Bala Singam untuk memendekkan tempoh perkhidmatannya sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Keputusan itu diumumkan melalui kenyataan media SPR dan akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2019.

BERSIH 2.0 mengharapkan Pengerusi SPR,  Tuan Azhar Azizan Harun agar membentuk pasukan SPR yang terdiri daripada Pesuruhjaya baru dengan kriteria berikut:

1. Rekod prestasi terbukti dalam integriti individu

2. Rekod prestasi terbukti dalam kesaksamaan dan bebas daripada politik kerajaan dan parti

3. Rekod prestasi terbukti dalam pengetahuan / pengalaman / kepakaran mengenai undang-undang pilihan raya dan sistem pilihan raya

BERSIH 2.0 juga menggesa kerajaan Pakatan Harapan untuk melantik Pesuruhjaya SPR dari kalangan gerakan masyarakat sivil (CSO) seperti yang dinyatakan dalam Janji 17 manifesto Pakatan Harapan. Janji tersebut, antara lain, memberikan kuota kepada CSO sebagai Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya.

Kami juga ingin menegaskan supaya satu Jawatankuasa Pencalonan SPR dibentuk bagi urusan pencalonan Pesuruhjaya SPR seterusnya mengemukakan cadangan tersebut kepada parlimen untuk diluluskan. Namun untuk kali ini, kerajaan Pakatan Harapan wajar berbincang dengan Pengerusi SPR sebagai satu langkah segera bagi urusan melantik Pesuruhjaya SPR.

Semoga pasukan SPR yang baharu akan mengembalikan kegemilangan SPR serta menjamin ketelusan dalam proses pilihan raya bagi negara kita setaraf dengan negara maju yang lain.

Dikeluarkan oleh:

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0