Kenyataan Media (5 Disember 2018): Hukum Calon BN Cameron Highland dan MB Pahang Kerana Rasuah

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengalukan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan agar kerusi parlimen Cameron Highland dikosongkan selepas amalan rasuah semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu berjaya dibuktikan berlaku dengan pengetahuan dan kebenaran oleh calon BN C.Sivarraajh.

Kami juga memuji Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memulakan siasatan tuduhan rasuah semasa PRU14 di kawasan Cameron Highland sebagaimana yang telah dilaporkan oleh akhbar New Straits Times pada 2 Disember 2018.

Oleh kerana rasuah telah dibuktikan di Mahkamah Pilihan Raya, bahawa sejumlah wang telah diberikan kepada pengundi oleh C.Sivarraajh dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, kami menggesa agar hukuman dibawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya dijatuhkan kepada C.Sivarraajh, Wan Rosdy Wan Ismail dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam merasuah pengundi.

Sesiapa yang terlibat dalam kesalahan rasuah boleh disabitkan hukuman penjara selama dua tahun, denda sehingga RM5,000 serta tidak boleh memilih dan dipilih di dalam pilihan raya selama lima tahun. Untuk Wan Rosdy, kerusinya juga harus dikosongkan atas kesalahan yang sama.

Semoga kes ini menjadi satu peringatan kepada semua parti politik serta calon pilihan raya yang akan datang bahawa kesalahan pilihan raya tidak boleh diambil mudah dan sesiapa yang disabitkan kesalahan tidak kira daripada parti pemerintah mahupun parti pembangkang, akan dihukum oleh undang-undang bagi mempertahankan integriti pilihan raya.

Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0

(featured photo credit: Malaysiakini)