Kenyataan Media Bersih Sabah (13 Disember 2018): Pakatan Harapan dan Warisan Wajib Tolak Wakil Rakyat UMNO Lompat Parti

Bersih Sabah sekali lagi mengingatkan Pakatan Harapan untuk menolak wakil-wakil rakyat sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen yang keluar secara beramai-ramai dan menyatakan sokongan kepada parti pemerintah. Sebelum ini kami pernah memberi amaran budaya lompat parti pada kenyataan media bertajuk ‘Hormat Suara Rakyat, Hentikan Budaya Melompat, Utamakan Prinsip’ pada 12 Mei 2018 sejurus selepas pembentukan Kerajaan Negeri Sabah.

Gesaan yang serupa dilaungkan oleh Bersih 2.0 pada 1 November 2018 apabila pendedahan oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berikutan 40 Ahli Parlimen UMNO yang katanya akan menyertai parti tersebut. Hari ini 5 Ahli Parlimen dan 9 ADUN UMNO Sabah telah mengisytiharkan keluar parti dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri Tun Mahathir.

Bersih Sabah melihat perkara ini sebagai satu perbuatan curang dan mengkhianati mandat yang diberikan rakyat kepada mereka berdasarkan manifesto serta platform parti politik yang mereka wakili pada PRU14. Sekiranya Pakatan Harapan mahupun Warisan menerima wakil-wakil rakyat tersebut maka terbukti Pakatan Harapan tidak inginkan negara ini mempunyai demokrasi yang berkesan serta pihak yang dapat memberi teguran kepada sebarang polisi mahupun tindakan kerajaan, dan ini akan membuka kotak pandora yang akan mengabsahkan segala tindak-tanduk kerajaan walaupun ianya salah.

Bersih Sabah berpendirian sekiranya wakil rakyat melompat parti maka pilihan raya semula harus dibuat semula bagi memberi peluang kepada rakyat menentukan calon yang tepat bagi kerusi tersebut yang lebih berprinsip dan jujur kepada perjuangan membela rakyat.

Wakil rakyat harus tahu bahawa platform bagi memperjuangkan hak rakyat tidak terhad hanya menjadi penyokong kepada kerajaan sahaja. Menjadi pembangkang yang baik juga adalah satu bentuk perjuangan bagi menegur segala tindak-tanduk kerajaan yang dirasakan tidak absah serta perkara ini akan memperbaiki dengan lebih baik segala polisi-polisi yang bakal dibentuk kelak. Menjadi pembangkang bukanlah satu penghinaan malah ianya adalah platform yang berbeza bagi mengisi kemenangan dan berkhidmat kepada rakyat.

 

Sekali lagi Bersih Sabah mengulangi gesaan agar pihak parti pemerintah menolak wakil rakyat yang melompat parti ini demi memastikan demokrasi dalam negara berjalan sebagaimana yang sewajarnya dengan mempunyai pembangkang yang kuat dan berpengalaman memerintah.

Dikeluarkan oleh,

Sekretariat Bersih Sabah