Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengharapkan rakyat, parlimen, dewan undangan negeri serta kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk mendedikasikan tahun 2019 bagi menguatkan demokrasi berbilang parti, yang tanpanya tidak akan ada kestabilan politik, keadilan, kebertanggungjawaban, ketelusan dalam pentadbiran dan perkembangan ekonomi yang inklusif.
BERSIH 2.0 memperingatkan rakyat Malaysia untuk tidak menganggap kekalahan UMNO/BN sebagai pemerintah tunggal sebelum ini akan secara automatiknya demokrasi akan hadir.
Sekiranya kita gagal untuk mempadukan demokrasi,proses demokrasi akan memberi laluan kepada politik huru-hara, kemunculan golongan populis bahkan kebangkitan semula dominasi satu parti.
BERSIH 2.0 memperingatkan keluarnya 17 ahli parlimen UMNO dan 18 ADUN UMNO dari Sabah, 3 dari Johor, 2 dari Perak, dan seorang dari Perlis dalam tujuh bulan selepas kekalahan pilihan raya adalah loceng amaran bahawa pertandingan berbilang parti sedang dilemahkan oleh nafsu kepada kekuasaan.
BERSIH 2.0 memuji sikap Presiden Keadilan, DS Anwar Ibrahim, dan sesetengah daripada pemimpin UMNO serta MCA yang menentang budaya ini walaupun pendirian mereka sebelum ini mungkin berbeza.
Untuk menguatkan demokrasi berbilang parti, BERSIH 2.0 menggesa perlaksanaan tiga reformasi ini:
1. Membentuk Jawatankuasa Pilihan Parlimen(PSC) untuk pilihan raya dan parti politik bagi mendapat konsensus antara parti-parti, melibatkan konsultasi orang ramai, dan membantu pindaan perlembagaan untuk reformasi yang dirasakan perlu oleh SPR dan Jawatankuasa Pembaharuan Sistem Pilihan Raya.
2. Reformasi pembiayaan politik untuk memberikan dana awam kepada parti-parti dan wakil yang dipilih berdasarkan kriteria yang adil dan saksama, dan untuk menghentikan rasuah, politik wang, politik naungan dan salahguna jentera kerajaan untuk kegunaan partisan dan pilihan raya.
3. Pemisahan pendakwaan awam daripada Peguam Negara bagi menghentikan pendakwaan terpilih, supaya ahli politik yang melakukan kesalahan tidak dapat mengelak daripada dikenakan hukuman dengan menyertai parti kerajaan.
Bersih 2.0 menolak propaganda bahawa reformasi memerlukan pindaan perlembagaan, sebagai contoh pemisahan kuasa pendakwaan awam daripada Peguam Negara, tidak boleh dilakukan tanpa kerajaan memiliki majoriti 2/3. Sekiranya reformasi memberikan kelebihan kepada pertandingan berbilang parti, mengapa harus pembangkang menolaknya?
Bersih 2.0 menggesa Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan DS Anwar Ibrahim sebagai pengerusi kaukus parlimen bagi pentadbiran dan reformasi untuk meyakinkan semua parti pada tahun 2019 membincangkan masa depan pertandingan berbilang parti.
Bersih 2.0 akan mengadakan perjumpaan dengan dua pemimpin ini sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk memperkasakan demokrasi.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0