Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), ENGAGE dan Tindak Malaysia akan memantau Pilihan Raya Kecil(PRK) P.078 Cameron Highland dari 12 hingga 26 Januari 2019 dan akan bekerjasama untuk memerhati serta melapor kesalahan pilihan raya.
Seramai 26 pemantau akan bertugas sepanjang tempoh kempen untuk memerhati aktiviti kempen calon serta parti-parti politik serta pelaksanaan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR).
Kami memberi amaran kepada semua calon dan parti politik yang akan bertanding pada PRK kali ini untuk tidak membuat kesalahan pilihan raya semasa kempen mereka daripada 12 hingga 25 Januari.
Sebagai tanda iltizam mereka untuk mengangkat integriti PRK dalam era Malaysia Baharu ini, kami akan menjemput semua calon secara terbuka menandatangani aku janji bagi memastikan pilihan raya yang bersih dan adil semasa kempen pilihan raya mereka.
Aku janji tersebut adalah untuk memastikan calon-calon menjalankan kempen mereka dengan etika yang bersih dan adil, bebas rasuah seperti pemberian wang atau hadiah, bebas pengaruh tidak wajar seperi makan malam percuma, konsert percuma, salah guna jentera dan sumber kerajaan, serta manipulasi sentimen perkauman dan keagamaan bagi mencetuskan kebencian dan keganasan.
Satu sidang media akan dibuat untuk menandatangani aku janji tersebut pada hari penamaan calon, 12 Januari 2019 jam 1.00pm. Calon yang hadir dan menandatangani janji tersebut akan diberikan masa untuk berucap kepada media berkenaan iltizam mereka untuk pilihan raya adil dan bersih serta iltizam mereka kepada politik bersih sekiranya mereka dipilih kelak.
Siaran langsung tandatangan aku janji calon-calon PRK akan dibuat melalui siaran langsung FB. Kami juga yakin tindakan ini akan membantu pengundi di Cameron Highland untuk mengetahui dengan lebih lanjut komitmen calon terhadap pilihan raya bersih dan politik bersih.
Walaupun harapan orang ramai sangat tinggi pasca PRU14 untuk melihat pilihan raya yang bersih dan adil, namun melihat kepada empat PRK sebelum ini perlakuan kesalahan pilihan raya masih dilakukan secara berterusan dan tidak berkurang. Maka pada PRK kali ini kami tidak akan teragak-agak untuk melaporkan kesalahan pilihan raya kepada pihak berkuasa, termasuk polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM).
BERSIH 2.0 juga mengajak orang ramai, termasuk mereka yang tinggal dan bekerja di Cameron Highland untuk menyokong pemantau PRK dengan menjadi mata dan telinga kepada tiga organisasi pantauan ini. Saksi kesalahan pilihan raya sangat digalakkan untuk membuat aduan kepada BERSIH 2.0 pada talian berikut:
Hotlines : 03 7931 4444 or 017-872 5418 or 017-872 5419
Whatsapp : 011-17721546
Laman Web: aduan.pemantau.org
Dikeluarkan bersama oleh,
BERSIH 2.0
ENGAGE
Tindak Malaysia