Kenyataan Media (12 Januari 2019) Pemilihan Tok Batin dan pemimpin Kampung cara untuk hapuskan ugutan undi

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menggesa calon Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan dua calon bebas dalam pilihan raya kecil(PRK) P078 Cameron Highland untuk menyokong penghasilan pucuk pimpinan kampung dan komuniti tempatan termasuk Tok Batin untuk komuniti orang Asli serta ketua kampung dan ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) melalui pengundian dan bukan lantikan politik.

Ugutan yang dibuat pada 11 hb Januari 2019 oleh Senator Bob Manolan ke atas Tok-tok Batin agar menyokong Kerajaan Pakatan Harapan sememangnya menunjukkan kemudaratan besar apabila pucuk pimpinan kampung atau komiuniti seperti Tok Batin tidak dipilih oleh orang kampung tetapi dilantik sama ada oleh kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri.

Sekiranya elaun sebanyak RM900-1200, menurut Senator Bob Manolan, boleh digunakan untuk memaksa sokongan Tok Batin untuk parti pemerintah, bagaimanakah komuniti Orang Asli boleh mengharapkan pemimpin mereka untuk tegak membela hak mereka kelak?

Menafikan hak orang kampung memilih ketua dan pemimpin mereka pada pokoknya adalah satu bentuk korupsi pilihanraya dimana wakil-wakil parti pemerintah dilantik untuk memonopolikan kecapaian kepada sumber kerajaan dan menyemai imbuhan.

Bersih 2.0 menyeru agar semua kerajan negeri mengadakan pilihan raya peringkat kampung yang meliputi kampung tradisional, kampung baru, kampung tersusun dan komuniti Orang Asli/Asal.

Bersih 2.0 juga menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan PH tidak harus mengulangi taktik menjijikkan untuk mewujudkan pimpinan kampung lantikan perseketuan di negeri-negeri yang diperintah oleh parti pembangkang untuk diisi oleh orang kuat parti pemerintah di kampung, sebagaimana yang dituntut oleh Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, Naib Presiden BERSATU di dalam mesyuarat agunng tahunan parti pada penghujung 2018.

Kepada calon PH, M. Manogaran, yang beruntung jika ugutan Senator Bob Manolan berkesan, jika beliau tidak bersetujui dengan ugutan itu, maka Bersih 2.0 cadangkan beliau untuk menyokong kuat pemilihan pimpinan kampung dan komuniti melalui pengundian.

Pemuda UMNO telah membuat laporan polis terhadap ugutan Senator Bob Manolan terhadap Tok Batin. BERSIH 2.0 berpandangan bahawa Senator tersebut harus disiasat dibawah Seksyen 9 (Pengaruh Tidak Wajar) di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya dan bukannya di bawah Seksyen 124b (aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen) di bawah Kanun Keseksaan.

Namun bantahan Pemuda UMNO itu tidak bermakna langusng malah nampak kehipokritannya sekiranya UMNO yang menguasai kerajaan negeri Pahang terus menafikan hak orang kampung untuk memilih pucuk pimpinan mereka. Calon BN, Ramli Mohd Nor, yang merupakan pemegang jawatan tertinggi orang Asli dalam pasukan polis, harus membuat pendirian yang jelas sama ada beliau menyokong hak autonomi yang minimum ini untuk komuniti orang Asli.

Sekalipun jika Senator Bob Manolan tidak membuat kenyataan tersebut, komuniti Orang Asli mahupun anggota komuniti di tempat lain tetap terdedah kepada tekanan kepartian selagi mereka dinafikan hak untuk memilih pimpinan dan ganjaran pimpinan mereka tidak terlindung daripada dendam kepartian. Ini hakikat yang mesti diiktiraf oleh Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan semua parti yang lain.

Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0