Kenyataan Media (23 Januari 2019): Adakah Menteri Besar Pahang Mengancam Pengundi Di Cameron Highlands?

 

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) merujuk kepada kenyataan yang telah dibuat oleh Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail pada 21 Januari 2019 semasa majlis perasmian dewan Tokong Tien Hou, Habu, Cameron Highlands. Ini telah dilaporkan oleh Malaysiakini dengan tajuk “MB Pahang ulang ‘ayat Najib’: Saya tolong awak, awak tolong saya”.

Adalah dilaporkan bahawa beliau memberitahu mereka yang hadir bahawa beliau tidak mahu menjanji apa-apa mengenai lesen pendudukan sementara (TOL) tetapi menjamin bahawa keadaan petani akan menjadi lebih baik berbanding dengan apa yang dihadapi sekarang. Beliau berkata, “Jadi saya harap tuan-tuan faham, kita sama-sama rakan, mahu tolong….tapi (kamu) pun kena tolong, sama-sama (kita tolong lagi cantik”. “Tapi saya tidak mahu janjilah, semua benda boleh selesai. Tuan-tuan kena ingat…kalay itu hal saya boleh selesai, tiada masalah! Saya mesti tolong,” katanya.

Bersih 2.0 memandang kenyataan Wan Rosdy dengan serius kerana beliau cuba mengingatkan pengundi-pengundi Cameron Highlands bahawa sebagai Menteri Besar Pahang beliau mempunyai kuasa untuk memutuskan perkara yang berkenaan dengan tanah. Bagi komuniti petani-petani di Cameron Highlands, jaminan penggunaa tanah adalah perkara yang cukup penting kerana kehidupan mereka bergantung kepadanya.

Bersih 2.0 berpandangan bahawa parti-parti politik tidak sepatutnya menyalahguna kuasa mereka sebagai kerajaan samada persekutuan atau negeri sebagai kuasa patronage untuk mendiskriminasikan Kawasan yang tidak mengundi parti mereka. Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan kewajiban mereka terhadap semua rakyat tanpa prejudis dan berdasar kepada kriteria dan polisi yang sedia ada yang jelas.

Wan Rosdy perlu diingatkan bahawa kenyataan sebegini boleh dianggap sebagai pengaruh tidak sewajarnya, salah satu kesalahan pilihanraya di bawah Seksyen 9, Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 atau pun salahguna kuasa dibawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Kesalahan pihanraya di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya membawa hukuman penjara sehingga 2 tahun, denda RM5,000 atau kedua-duanya manakala hukuman untuk salahguna kuasa adalah penjaa selama 20 tahun.

Bersih 2.0 mengesa Wan Rosdy untuk memperjelaskan dengan segera kenyataan beliau dan memberi jaminan kepada pengundi-pengundi di Cameron Highlands bahawa beliau akan menjalankan tangunggjawab beliau sebagai Menteri Besar untuk menyelesaikan semua masalah, terutamannya isu tanah, dengan sesiapapun yang telah dipilih dalam hari pengundian pada 26 haribulan Januari. Pengundi-pengundi tidak sepatutnya menghadapi ancaman terhadap kehidupan mereka semasa membuang undi.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0