Memandangkan hari mengundi untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands akan diadakan pada hari Sabtu yang akan datang, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) ingin mengingatkan parti-parti politik dan calon-calon untuk tidak mendirikan pondok panas atau menagdakan sebarang aktiviti-aktiviti meraih undi, terutamanya di sekitar pusat mengundi dan di dalam media social.
Seksyen 26 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 melarang sebarang aktiviti-aktiviti kempen pilihanraya pada hari mengundi. Seksyen 26(1) (c) tidak membenarkan pembukaan pejabat atau pondok panas di dalam kawasan pilihanraya di mana seseorang calon bertanding untuk sebarang tujuan yang berkaitan dengan pilihanraya melainkan untuk kempen pilihanraya semasa jangkamasa kempen pilihanraya sahaja. Hukuman untuk kesalahan ini adalah penjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM5000 atau kedua-duanya.
Hanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dibenarkan mendirikan pondok panas pada hari mengundi. Seksyen 26A memperuntukan kuasa kepada SPR untuk mendirikan pondok panas di tempat yang bersesuaian untuk tujuan membantu pengundi memastikan nombor giliran mereka dalam daftar pemilih. Adalah jelas tidak perlunya calon-calon dan parti-parti politik mendirikan pondok panas untuk membantu pengundi pada hari mengundi.
Bersih 2.0 juga ingin memberi amaran bahawa cara menyembunyikan pondok panas atau aktiviti meraih undi dengan cara penjajaan yang menjual atau memberikan minuman dan makanan secara percuma adalah salah dan mereka yang terlibat akan disabit dengan kesalahan pilihanraya.
Seksyen 26(1)(f) melarang semua aktiviti meraihkan undi untuk atau tidak memberi undi kepada seseorang calon pada hari mengundi dengan apajua cara. Bersih 2.0 menyeru kepada semua calon-calon, parti-parti politik dan individu-individu untuk tidak melibatkan diri dalam kesalahan pilihanraya ini, termasuk di dalam media social seperti Facebook, Twiter dan sebagainya. Ini akan membenarkan satu suasana yang tenang untuk para pengundi membuat keputusan pada hari mengundi.
Walaupun perkara diatas adalah jelas dalam Akta Kesalahan Pilihanraya, fenomena pondok panas dan aktiviti-aktiviti meraihkan undi pada hari mengundi masih terjadi-jadi di dalam keempat-empat pilihanraya kecil yang lepas di Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Port Dickson. Ini perlu dihentikan.
Kami mengesa SPR dan pasukan penguatkuasa untuk menguatkuasakan undang-undang ini dengan ketat supaya satu budaya pilihanraya yang baru dapat dimulakan di dalam negara kita.
Kami juga menyeru semua pengundi-pengundi Cameron Highlands untuk keluar mengundi beramai-ramai untuk melaksanakan hak dan juga tanggungjawab sebagai pengundi di dalam proses demokrasi.
Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0