Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil(Bersih 2.0) merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan Menteri Hal Ehwal Agama Mujahid Yusuf Rawa yang menuduh sesetengah pihak menyalahgunakan demokrasi dengan menggunakan Perarakan Hari Wanita pada 9 Mac untuk mempertahankan hak golongan LGBT.
Bersih 2.0 mengingatkan Mujahid bahawa demokrasi sepenuhnya membenarkan semua golongan untuk menyuarakan pandangan serta tuntutan mereka secara aman. Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menyatakan setiap warganegara berhak kepada kebebasan bersuara, ekspresi, berhimpun secara aman dan kebebasan berpersatuan.
Kita tidak perlu untuk bersetuju dengan semua pandangan yang dilontarkan atau isu yang sedang dibawa tetapi kita perlu untuk mendengar serta memahami walaupun selepas ini dilakukan kita masih lagi tidak bersetuju. Sebagai menteri kerajaan yang demokratik Mujahid tidak sewajarnya menghalang atau menghentam mana-mana kumpulan yang ingin membangkitkan tuntutan mereka.
Bersih 2.0 menyokong kesaksamaan, tidak mendiskriminasi dan kebebasan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk semua orang bersuara secara aman. Sejak 9 Mei kita menyaksikan himpunan anti-ICERD, Melayu Bangkit, Mempertahankan Nabi Muhammad dan pelbagai lagi himpunan lain. Kami memuji tindakan kerajaan PH untuk membenarkan dan mengawal himpunan tersebut tanpa sebarang intimidasi.
Salah satu tuntutan utama daripada lima tuntutan Perarakan Hari Wanita semalam adalah untuk menghentikan keganasan berdasarkan jantina dan orientasi seksual. Kami bimbang dengan pendirian Mujahid serta ramai lagi ahli politik dan kumpulan lain akan menyamarakkan lagi kebencian dan diskriminasi kepada kelompok LGBT tersebut. Setiap orang ada hak untuk dilindungi daripada keganasan dan diskriminasi di bawah undang-undang. Untuk menuntut perlindungan itu adalah berbeza dengan mempromosikan gaya hidup, orientasi seksual ataupun ideologi.
Bersih 2.0 juga terkesima dengan kenyataan Mujahid bahawa Perarakan Hari Wanita tidak mempunyai permit kerana notis untuk himpunan tersebut dihantar kurang daripada 10 hari dan penganjur akan disiasat dibawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman(APA) 2012. Kami ingin mengingatkan menteri bahawa PH telah berjanji untuk menghapuskan peruntukan drakonian dalam APA dan kanun keseksaan bagi perhimpunan aman. Seksyen 9 juga menjadi persoalan sama ada berpelembagaan atau tidak serta ianya tidak sewajarnya digunakan kepada peserta himpunan aman.
Kami menggesa rakyat Malaysia dan kerajaan PH untuk memikir-ulang ruang demokratik dan mengambil peluang ini untuk membincangkan tuntutan yang dibangkitkan oleh golongan yang melakukan protes serta untuk mensivilkan masyarakat kita.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0