Kenyataan Media Bersih (16 Mac 2019): Pembangkang Teraju PAC Untuk Semak dan Imbang, Bukan Sekadar Janji

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) kecewa dengan tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang secara unilateral memutuskan bekas MP UMNO, Dr Ronald Kiandee akan kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) walaupun beliau telah menyertai PPBM dan menjadi sebahagian daripada gabungan parti pemerintah.

Bersih 2.0 maklum bahawa alasan yang diberikan oleh PM untuk membuat pusingan-u kepada manifesto ini adalah janji anggota pembangkang menjadi Pengerusi PAC hanyalah “dasar dan belum diundang-undangkan atau sebahagian daripada perlembagaan”.

Kami dengan tegas ingin mengingatkan Tun Mahathir sebab mengapa manifesto PH menjadikannya ia sebagai satu janji adalah supaya maruah Parlimen dikembalikan dan tidak lagi menjadi tempat untuk cop lulus kepada cabang eksekutif kerajaan sahaja.

Ahli parlimen bangku belakang kerajaan dan pembangkang wajib mengkritik keras tindakan Tun Mahathir yang telah merendah-rendahkan peranan mereka untuk menjadi ejen semak dan imbang kepada kabinet.

Mandat PAC adalah untuk menyemak semua akaun awam dan memeriksa laporan Ketua Audit Negara. PAC mempunyai kuasa untuk menyiasat semua urusan kerajaan dengan memanggil menteri kabinet dan ketua agensi kerajaan untuk menjelaskan sebarang kemusykilan pihak jawatankuasa sendiri mahupun oleh orang ramai.

Dengan ahli parlimen pembangkang menjadi  Pengerusi akan dapat memastikan parti pemerintah tidak dapat mempengaruhi agenda PAC. Sepatutnya skandal 1MDB menjadi pengajaran utama kepada kepentingan PAC untuk rentas parti serta tidak diketuai oleh anggota daripada parti pemerintah.

Malahan, kenyataan Ronald Kiandee bahawa beliau tidak akan meletak jawatan disebabkan PM menyatakan tiada keperluan

berbuat demikian dan beliau akan menuruti kehendak Mahathir jelas menunjukkan beliau tidak sesuai untuk mempengerusikan PAC

Untuk Perdana Menteri mengatakan janji tersebut belum diinstitusikan atau diundang-undangan, maka boleh dilanggar, membangkitkan secara serius komitmen kerajaan kepada reformasi institusi.

Sejurus selepas mendapat kuasa pada 9hb Mei lalu, PM telah membebaskan institusi utama seperti SPRM, SPR, SUHAKAM dan Jabatan Audit Negara daripada kawalan Jabatan Perdana Menteri. Adakah beliau atau PM akan datang akan berpatah balik dengan alasan bahawa tindakan-tindakan ini belum diinstitusikan?

Bersih 2.0 menggesa Perdana Menteri dan kerajaan PH untuk menepati kesemua janji manifesto mereka seterusnya menyegerakan pindaan undang-undang untuk menginstitusikan kebebasan institusi awam yang utama supaya mereka dapat mengawal dengan berkesan penyalahgunaan kuasa oleh cabang eksekutif seterusnya melindungi kepentingan orang ramai.

Sekiranya Perdana Menteri tidak membatalkan keputusan beliau untuk mengekalkan Ronald Kiandee sebagai Pengerusi PAC, kredibiliti kerajaan PH bahkan kehormatan Parlimen akan tercemar dan terjejas. Legasi Tun M kepada negara sebelum beliau berehat seharusnya dengan mengembalikan kebebasan institusi awam dan bukannya mengekalkan kesetiaan mereka kepada Perdana Menteri.

Dikeluarkan oleh:

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0