Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengalu-alukan tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memperketatkan syarat penukaran alamat kad pengenalan(KP) dengan syarat mengemukakan bukti yang kukuh permastautinan. Sesiapa yang ingin menukar alamat kad pengenalan mereka perlu mengemukakan bil utiliti, resit sewa atau perjanjian sewa. Dilaporkan tindakan ini akan berkuatkuasa bermula 2 Mei 2019.
Syarat yang digariskan oleh JPN akan membantu menyelesaikan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Bersih 2.0 dari dahulu lagi apabila kami mengesan adanya satu jumlah besar pengundi yang dipindahkan dalam tempoh masa ke PRU14. Pengundi ini adalah mereka yang menukar alamat KP dan kesannya kawasan tempat mengundi mereka akan berubah ke kerusi marginal di mana parti politik yang disokong mereka ingin menangi.
Ribuan pengundi yang dipindahkan ini telah dilaporkan wujud di seluruh negara dengan kebanyakan mereka berkongsi alamat yang sama. Salah satu kawasan yang rakan kami dari ENGAGE telah lakukan siasatan yang terperinci adalah di P116 Wangsa Maju, di mana 5000 hingga 10, 000 pengundi dipindahkan ke kawasan tersebut sebelum PRU14, dengan kebanyakan yang dipindahkan adalah dari kawasan berjiran iaitu P115 Batu.
Jumlah pertukaran alamat yang besar dan pendaftaran pengundi baru dalam tempoh yang singkat hanya boleh terjadi kerana JPN membenarkan orang ramai untuk menukar alamat tanpa perlu mengemukakan bukti permastautinan, malah hal ini turut membangkitkan rasa syak kerjasama dalaman antara JPN dan staf SPR dengan pekerja parti.
Dengan syarat baru kepada mereka yang ingin menukar alamat untuk perlu memberikan bukti alamat baru mereka, ini akan dapat menutup ruang penipuan dan pemalsuan pengundi.
Walaubagaimanapun, Bersih 2.0 ingin mencadangkan kepada JPN bagi mempertimbangkan penghasilan Pangkalan Data Alamat Kebangsaan bergeo-kod(seperti cadangan kami dalam Laporan Meja Bulat Reformasi Pilihan Raya), di mana setiap alamat dalam negara ada “pengenal unik” yang dapat mengenal pasti lokasi dengan tepat bersama pengelasan hartanah.
Ini bukan saja dapat menyingkirkan segala kesamaran dalam rang daftar pemilih namun dapat juga mengenal pasti pendaftaran yang meragukan sama ada terlalu ramai pengundi pada alamat yang sama atau pengundi yang bukan mendiami di alamat tersebut. Pendaftaran nasional ini akan memberi manfaat kepada pelbagai lagi fungsi tadbir urus kerajaan dan akan meningkatkan ketelusan.
Pengetatan syarat pendaftaran alamat oleh JPN ini juga daoat membuka jalan kepada pendaftaran pengundi secara automatik. Walaubagaimanapun, perbincangan diperingkat nasional harus dimulakan sama ada kita ingin membenarkan pengundi mengundi dimana mereka mahu, biasanya tempat asal mereka, atau memaksa mereka mengundi di tempat bermastautin sebagaimana tercatat di alamat KP.
Sekali lagi, Bersih 2.0 mengalukan tindakan JPN mengetatkan syarat pendaftaran alamat terbuka untuk berbincang dengan semua pihak yang terlibat bagi meningkatkan integriti rang daftar pemilih.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0