Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) merujuk kepada laporan Bernama yang dibawakan oleh Malaysiakini pada 28 Mac dengan tajuk “5 sekolah di Rantau mendapat kupon makanan percuma dari Ahli Parlimen Miri”.
Dilaporkan kupon makanan percuma itu berjumlah sehingga RM75, 000 telah diberikan kepada 300 pelajar miskin daripada lima sekolah dalam kawasan pilihan raya kecil(PRK) Rantau.
Ahli Parlimen(AP) Miri, YB Michael Teo selanjutnya menambah bahawa beliau melakukan perkara ini kerana permintaan Dr S Streram, prospek calon PH untuk PRK kali ini. Streram turut hadir apabila kupon ini diedarkan.
Bersih 2.0 ingin memaklumkan bahawa Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKP) jelas menunjukkan menjamu sesiapa sahaja dengan makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan, apa-apa wang, tiket atau apa saja kaedah lain bertujuan mempengaruhi seseorang secara rasuah untuk mengundi pada pilihan raya adalah satu kesalahan. Seksyen 8 dan seksyen lain dalam AKP seperti pengembangan perasaan jahat dan permusuhan, pengaruh tidak wajar dan rasuah, dimulakan dengan frasa “sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.”
Bersih 2.0 ingin mencadangkan interpretasi “sebelum pilihan raya” bermaksud sebelum penamaan calon dan permulaan yang munasabah bagi tempoh bagi kesalahan pilihan raya dilakukan adalah sewaktu kerusi diisytiharkan kosong atau pada ketika Parlimen atau DUN dibubarkan.
Kerusi Rantau diisytiharkan kosong pada 26 Februari selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Mohamad Hasan sebagai penyandang kerusi tersebut. Memandangkan semua pihak sudah mengetahui pastinya pilihan raya akan diadakan selepas daripada itu, adalah munasabah untuk menganggap aktiviti politik yang tidak dijadualkan di kawasan tersebut dilakukan bertujuan untuk memancing undi, terutama dengan kehadiran Dr. Streram, yang telah diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan untuk kerusi Rantau.
Bersih 2.0 berpandangan semua bentuk penjamuan, pengaruh tidak wajar, rasuah dan pengembangan perasaan jahat dan permusuhan daripada saat kerusi dikosongkan boleh dianggap sebagai kesalahan pilihan raya. Justeru, kami berpandangan MP Miri telah pun melakukan kesalahan pilihan raya iaitu penjamuan.
Walaubagaimanapun ianya tertakluk kepada badan penguatkuasa yang berkaitan untuk bertindak terhadap tuduhan ini dan terletak kepada Mahkamah untuk mentafsirkan undang-undang pilihan raya. Bersih 2.0 menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan semua pihak patuh kepada AKP.
Dengan bermulanya tempoh berkempen secara rasmi esok, Bersih 2.0 menggesa semua parti dan calon untuk mematuhi bukan sahaja perkataan di dalam undang-undang namun juga semangat AKP, iaitu pilihan raya wajib bebas, bersih dan adil. Kami berharap pada PRK Rantau ini kita dapat melihat trend peningkatan kesalahan pilihan raya seperti enam PRK yang lalu dapat dikurangkan.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0