Kenyataan Media Bersih Sabah (25 April 2019) Pelancaran PEMANTAU PRK P.186 Sandakan

Berikutan pengumuman Pilihan Raya Kecil P.186 Sandakan oleh SPR akibat kematian penyandang kerusi tersebut YB Datuk Wong Tien Fatt(Stephen Wong), Bersih 2.0 (Sabah) akan melancarkan kempen PEMANTAU Pilihan Raya bagi memantau pilihan raya kecil ini.
Sebagaimana PEMANTAU pada PRU14, PEMANTAU untuk PRK kali ini juga akan memantau parti-parti politik, calon-calon serta mana-mana kumpulan atau individu yang terlibat dengan kempen pilihan raya daripada melakukan kesalahan pilihan raya. Sekiranya ada pihak melakukan kesalahan kita akan laporkan kepada pihak yang berkuasa dan SPR untuk tindakan selanjutnya. Kami akan menghantar tujuh orang PEMANTAU untuk memantau PRK Sandakan ini.
Pasukan PEMANTAU akan memfokuskan kepada beberapa kesalahan utama yang biasanya dilakukan oleh parti politik dan calon-calon seperti:
1. Rasuah dan beli undi
2. Penjamuan dan pemberian hadiah
3. Salah guna aset kerajaan
4. Pengaruh tidak wajar kerajaan
5. Intimidasi, keganasan dan gangguan
6. Berkempen pada hari pengundian
Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan kepada semua jentera kempen parti politik dan calon pilihan raya agar membaca Akta Kesalahan Pilihan Raya sebelum mula berkempen dan mematuhi Akta tersebut agar berkempen dengan etika yang betul serta tidak melakukan kesalahan pilihan raya. Kami juga ingin mengingatkan terutamanya parti yang sedang menjadi kerajaan agar tidak menyalahgunakan jentera kerajaan dan melakukan pengaruh tidak wajar seperti semasa berkempen. Biarlah Sabah menjadi contoh kepada semua negeri di Malaysia dengan tidak melakukan kesalahan pilihan raya dan berkempen dengan bersih, bebas dan adil.
Rakyat Sabah perlu memastikan akauntabiliti ahli politik dalam menggunakan dana kerajaan. Kami juga mengajak semua rakyat Sabah untuk turut bersama-sama memantau perjalanan pilihan raya kali ini demi memastikan proses pilihan raya serta kempen-kempen yang dijalankan mengikut undang-undang dan perlembagaan. Sekiranya orang ramai ada mendapati kesalahan pilihan raya, pelanggaran hak asasi atau kempen perkauman yang melampau, aduan boleh dibuat melalui:
Telefon dan whatsapp: 0145724007
E-mel: [email protected]
Dikeluarkan oleh,
Bersih 2.0 (Sabah)