Kenyataan Media Bersih 2.0 (10 Mei 2019): Jangan Salah Guna Sumber Kerajaan Untuk Kempen Politik

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil(Bersih 2.0) mengutuk penggunaan sumber dan jentera kerajaan oleh kerajaan negeri Sabah untuk berkempen dan membuat janji kepada pengundi di Sandakan kerana ia adalah pengaruh tidak wajar serta salah guna aset kerajaan untuk tujuan politik, dan dalam kes ini untuk mendapat undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P.186 Sandakan.

Dalam satu perkongsian video oleh Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah, Jo Anna Rampas, di Instagram (IG) beliau, menunjukkan satu kumpulan kempen Parti Warisan Sabah (Warisan) yang menuju ke Pulau Berhala dengan menaiki bot polis dan dipandu oleh anggota polis. Ini adalah satu penyalahgunaan jentera kerajaan untuk berkempen dan tidak sepatutnya berlaku dalam suasana Malaysia Baharu dan Sabah Baharu.

Apakah akan terjadi sekiranya bot tersebut diperlukan untuk isu penyelamatan atau isu keselamatan bagi mempertahankan rakyat di perairan Sandakan? Banyak kejadian tidak terduga boleh berlaku sekiranya bot polis digunakan tanpa justifikasi yang jelas seperti penggunaannya untuk kempen pilihan raya. Carian PEMANTAU Bersih 2.0 di IG Jo Anna Rampas mendapati video tersebut telah dipadamkan dari IG beliau.

Selain itu, menurut laporan daripada portal berita Sabah News Today yang bertajuk ‘Teliti Status Kampung Forest, Jalan Buli Sim-Sim: Ketua Menteri‘, laporan tersebut menyatakan Ketua Menteri Sabah, DSP Shafie Apdal telah mengarahkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Jaujan Sambakong untuk meneliti status tanah perkampungan Kampung Forest dan akan memberikan geran sekiranya layak agar kemudahan kampung dapat disediakan.

Arahan yang dikeluarkan ini mungkin akan memberikan pengaruh tidak wajar kepada pengundi di Sandakan untuk mengundi parti yang mewakili kerajaan negeri hari ini iaitu DAP. Walaupun kami memahami tugas DSP Shafie Apdal memerlukan beliau turun ke lapangan dan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi rakyat seperti isu tanah, sampah dan sebagainya, namun banyak persoalan boleh ditimbulkan seperti mengapa baru sekarang dan ketika proses kempen PRK Sandakan sedang berjalan?

Oleh itu, Bersih 2.0 sekali lagi ingin mengingatkan semua pihak agar berkempen dengan etika kempen yang bersih dan adil serta tidak menyalahgunakan sumber kerajaan untuk tujuan politik. Bersih 2.0 ingin mengingatkan agar semua pihak untuk berpegang kepada Artikel 3(3) dan 4(1) Deklarasi Inter-Parlimentary Union(IPU) berkenaan penggunaan jentera kerajaan untuk aktiviti pilihan raya. Deklarasi tersebut menyatakan:

“States should take necessary legislative steps and other measures, in accordance with their constitutional processes, to guarantee the rights and institutions framework for periodic and genuine, free and fair elections, in accordance with their obligations under international law. In particular, States should ensure the SEPARATION of party and State..”

Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0