Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil(Bersih 2.0) berpandangan had yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) kepada menteri agar tidak berkempen semasa waktu bekerja adalah munasabah bagi mengelakkan salah guna sumber kerajaan.
Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun mesti berdiri teguh untuk had ini bagi mengelakkan sebarang tanggapan bahawa SPR dikawal oleh Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad, di mana beliau telah menggesa untuk sedikit pengenduran.
Pengehadan “aktiviti politik ataupun aktiviti lain penjawat awam diluar skop tugasan rasmi mereka” adalah selari dengan resolusi 51/59 Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertajuk “Tindakan Menentang Rasuah”. (1)
Dokumen kod tatalaku parti politik oleh IDEA Antarabangsa bertajuk Kempen di dalam Pilihan Raya Demokratik juga menggesa parti politik untuk “tidak menggunakan sumber rasmi Kerajaan/Negara, Wilayah, Perbandaran, atau lain-lain sumber awam untuk tujuan berkempen”. (2)
Suruhanjaya Pilihan Raya India juga secara khusus menghadkan Menteri daripada menggabungkan tugas rasmi dan menggunakan jentera dan pegawai rasmi kerajaan ketika pilihan raya. Ketika pilihan raya umum had itu adalah untuk seluruh negara dan ketika pilihan raya kecil ianya terhad kepada kawasan pilihan raya yang sedang bertanding”(3).
Negara-negara seperti Australia, India, Barbados, Canada, Republik Ireland, Ghana dan Namibia juga telah membuat peraturan yang serupa.
Bagi menangani kebimbangan PM yang pengehadan pilihan raya tersebut akan memberi kekurangan kepada kerajaan yang memerintah, Bersih 2.0 ingin mencadangkan penyelesaian berikut:
- Menteri atau penjawat awam yang juga pemimpin parti politik harus memohon cuti tanpa gaji atau cuti tahunan ketika waktu bekerja sekiranya mereka ingin menyertai kempen ketika pilihan raya kecil.
- Selain kenderaan rasmi, pemandu dan anggota keselamatan yang ditugaskan kepada Menteri atau pegawai kerajaan, aset dan pegawai kerajaan tidak boleh ditugaskan untuk mengiringi mereka semasa tempoh berkempen.
- Penggunaan kapal terbang, helikopter atau cara lain untuk pengangkutan ketika perjalanan semasa tempoh berkempen, disebabkan oleh faktor keselamatan, pengecualian boleh diberikan kepada Perdana Menteri namun kami mencadangkan parti politik atau gabungan politik PM untuk membayar semula nilai tambang kelas pertama PM dan rombongannya kepada perbendaharaan negara. Ini adalah sama seperti apa yang Presiden AS dan rombongannya perlu lakukan sekiranya mereka menggunakan Air Force One untuk aktiviti parti. Kami memuji contoh positif yang dilakukan PM apabila beliau menyewa helikopter ketika PRK Cameron Highland.
- Bagi mengelakkan parti politik menghabiskan dana mereka untuk perbelanjaan tersebut, kerajaan PH harus mempercepatkan implementasi pendanaan parti politik oleh dana awam berdasarkan undi yang diterima dalam pilihan raya yang lepas.
- SPR perlu menjalankan kuasa mereka di bawah Perkara 113(5) Perlembagaan Persekutuan untuk berusaha menghasilkan Kod Etika Tatalaku yang komprehensif meliputi fungsi kerajaan semasa pilihan raya kecil dan kerajaan sementara semasa pilihan raya umum sebagaimana rakan sejawatan mereka di India lakukan.
SPR baharu ini adalah antara model reformasi yang paling bersinar di dalam Malaysia Baharu, yang sebelum ini telah dirosakkan kredibilitinya sekian lama, sedang dipulihkan sedikit demi sedikit dengan ketelusan dan pembaharuan yang lebih hebat. Bersih 2.0 menyeru semua pemegang taruh untuk menyokong usaha SPR walaupun ianya tidak menyenangkan kedua-dua kerajaan mahupun pembangkang.
Satukan Tenaga, Malaysia Baru!
Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0
Pautan dokumen untuk rujukan:
(1) http://unpan1.un.org/intradoc/groups/public/documents/un/unpan010930.pdf
(2) https://www.idea.int/publications/catalogue/code-conduct-political-parties-campaigning-democratic-elections
(3) https://www.eci.gov.in/faqs/mcc/model-code-of-conduct-r15/