Laporan PRK Sandakan: Kempen Pada Hari Mengundi Masih Banyak Berlaku 21 Mei 2019

Bersih 2.0 (Sabah) akan mengeluarkan laporan pemerhatian Pilihan Raya Kecil P.186 Sandakan hari ini.

Bersih 2.0 (Sabah) telah merekodkan 19 kes kesalahan pilihan raya dan salah laku semasa tempoh pilihan raya. Kesalahan tersebut melibatkan penjamuan(2 kes), salah guna aset kerajaan(2 kes), mengembangkan perasaan jahat dan permusuhan(2 kes), berkempen pada hari pengundian(8 kes), pengaruh tidak wajar kerajaan(1 kes), dan lain-lain kesalahan(4 kes).

Dalam PRK kali ini, kesalahan pilihan raya yang dilakukan oleh pihak yang bertanding menurun berbanding PRK di Rantau dan Cameron Highland. Sebagai contoh, kesalahan penjamuan yang direkodkan hanya dua kesalahan untuk PRK Sandakan berbanding di Cameron Highland(4 kes) dan Rantau(7 kes). Kesalahan penjamuan ini dilakukan secara langsung oleh DAP sebelum penamaan calon iaitu pada 25 April 2019 dan dilakukan oleh pihak ketiga iaitu Ahli Jawatankuasa Surau Al-Furqan pada 3 Mei 2019 yang melaksanakan program “Kenduri Sekampung Bersama Ketua Menteri”. Berkurangnya kesalahan ini mungkin disebabkan oleh faktor bulan Ramadan.

Salah guna jentera kerajaan dan pengaruh tidak wajar oleh kerajaan masih lagi berlaku walaupun kurang daripada di PRK Rantau dan Cameron Highland. Kesalahan ini dilakukan oleh Setiausaha Politik Ketua Menteri yang menggunakan bot polis berkempen di Pulau Berhala, penerimaan memorandum daripada Persatuan Peniaga Cina Tawau(Tawau Chinese Chamber of Commerce) oleh Teresa Kok dengan dihadiri oleh calon DAP untuk PRK ini.

Kesalahan paling banyak dilakukan adalah ketika hari pengundian. Pemerhati kami banyak merekodkan kesalahan parti-parti politik merayu undi serta ada pihak yang mengangkut pengundi terutama di pusat pengundian SK Sri Tanjung Papat dan SK Sungai Anib 1. Di pusat pengundian yang lain kami dapati hampir tidak ada perayu undi seperti yang berlaku di SK Sri Tanjung Papat dan SK Sungai Anib 1. Kami juga mendapati 9 buah kenderaan digunakan untuk mengambil dan menurunkan pengundi. 8 daripada kenderaan yang dikesan membawa bendera PBS dan DAP serta sebuah kenderaan tidak dapat dikenalpasti daripada pihak yang mana.

Kami menggesa pihak Pasukan Penguatkuasa Pilihan Raya(PPKPR) dan SPR untuk lebih tegas menghalang kegiatan kempen seperti merayu undi dan mengangkut pengundi semasa hari pengundian kerana kesalahan ini jelas berlanggar dengan Seksyen 20(3) dan(4) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Selain itu PPKPR juga perlu lebih tegas menutup Pondok- Pondok Panas yang didirikan walau dimana sahaja dalam kawasan pilihan raya kerana membuka barung pada hari pengundian adalah berlanggar dengan Sekyen 26(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Walaupun ada kekurangan dalam penguatkuasaan undang-undang melibatkan kesalahan pilihan raya, secara umumnya SPR telah menjalankan pilihan raya kali ini dengan baik. Banyak penambahbaikan kemudahan tempat mengundi daripada PRK yang lalu seperti penyediaan ramp yang lebih bersesuaian untuk golongan berkerusi roda serta penggunaan buggy-car untuk kegunaan warga emas dan golongan kurang upaya.

Selain itu tidak ada kempen yang keterlaluan perkauman serta mewujudkan permusuhan yang serius dan perkara ini hendaklah diteruskan oleh semua pihak agar pilihan raya di negara terus bersih, bebas dan adil.

Laporan penuh Pemerhati PRK P.186 Sandakan boleh dimuat-turun di laman web www.bersih.org.

Jika ada sebarang pertanyaan boleh hubungi En. Asyraf di talian 014-5724007

Dikeluarkan oleh, BERSIH 2.0 (Sabah)