Kenyataan Media (31 Mei 2019): Tubuh Segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Salah Laku Pilihan Raya PRU14

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk segera menasihati DYMM Yang Di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi salah laku pilihan raya dalam perjalanan ke Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk meredakan perasaan tidak selesa rakyat terhadap tuduhan salah laku yang serius oleh bekas Pesuruhjaya SPR yang cuba merosakkan demokrasi di Malaysia dengan mengendalikan pilihan raya yang tidak bebas dan adil.

 

Bersih 2.0 telah menghantar surat kepada PM pada 14 Ogos 2018 untuk menggesa beliau menubuhan satu Tribunal bagi menyiasat dan menyingkirkan Pesuruhjaya SPR yang mengendalikan PRU14. Ketika itu, mereka masih bertugas sebagai Pesuruhjaya kecuali pengerusinya Hashim Abdullah yang telah meletak jawatan lebih awal. Apabila berita satu Tribunal akan dibentuk, keenam-enamnya telah meletak jawatan namun tarikh perletakan jawatan hanya berkuatkuasa pada 1 Januari 2019. Selepas beberapa pendengaran, dengan keputusan 3-2 malangnya, Pengerusi Tribunal Tan Sri Steve Shim Lip Kiong membuat keputusan bahawa isu itu sudah menjadi akademik disebabkan kesemua ahli Pesuruhjaya SPR telah pun meletakkan jawatan.

 

Bersih 2.0 berpandangan keadilan telah dikesampingkan dengan keputusan oleh panel Tribunal pada 24 Mei 2019. Mesej yang dihantar adalah penjawat awam boleh melepaskan diri dari kesalahan dengan meletak jawatan sebelum mereka disiasat, dan kos, masa serta tenaga adalah lebih utama daripada mendapatkan keadilan.

 

Oleh itu, Bersih 2.0 percaya tindakan selanjutnya adalah dengan menubuhkan RCI dengan Terma Rujukan seperti berikut:

 

  1. Untuk Menyiasat

(i) sebarang salah laku, salah guna kuasa atau apa-apa kesalahan lain oleh bekas Ahli Pesuruhjaya SPR dan lain-lain dalam pengendalian proses pilihan raya semasa Pilihan Raya Umum ke-14;

(ii) sebarang tindakan memanipulasi senarai daftar pemilih oleh SPR dan/atau kegagalan untuk mengekalkan integriti senarai daftar pemilih melalui kecuaian tugas untuk mencegah pemalsuan sebelum PRU14;

(iii) sebarang pelanggaran undang-undang Malaysia dan/atau manipulasi sempadan pilihan raya semasa persempadanan semula yang dijalankan oleh SPR semasa penyempadanan semula kali ke-6 di Sarawak, Sabah dan Semenanjung.

 

  1. Untuk mencadangkan tindakan yang wajar diambil kepada bekas ahli Pesuruhjaya SPR dan sesiapa sahaja yang didapati bersubahat;

 

  1. Untuk mencadangkan sebarang penambahbaikan atau perubahan undang-undang dan peraturan-peraturan bagi mengukuhkan system pilihan raya.

 

Tempoh masa siasatan ini harus bermula daripada 6 Mei 2013 sehingga 10 Mei 2018, iaitu, pasca PRU13 sehingga ke pengumuman keputusan PRU14. Justeru, semua Pesuruhjaya sebelum PRU14 mesti disiasat. Mereka termasuk, tetapi tidak terhad kepada seperti yang berikut:

  1. Tan Sri Mohd Hashim Abdullah (Bekas Pengerusi)
  2. Tan Sri Othman bin Haji Mahmood (Bekas Timbalan Pengerusi)
  3. Dato’ Md Yusop bin Haji Mansor
  4. Datuk Haji Abdul Aziz bin Khalidin
  5. Haji Sulaiman bin Haji Narawi
  6. Dato’ Bala Singam a/l Karupiah
  7. Dato’ Leo Chong Cheong

 

Bagi komposisi ahli RCI pula, adalah mustahak untuk ahlinya individu yang berintegriti, kejujuran intelektual yang tidak diragui, berani dan bebas serta mendapat keyakinan daripada rakyat. Mereka harus dianggotai oleh mantan hakim, pensyarah undang-undang, peguam dan ahli yang berkredibiliti daripada gerakan masyarakat sivil.

 

Antara isu yang RCI harus siasat termasuklah, namun tidak terhad kepada tatalaku Pesuruhjaya SPR:

 

  1. Persempadanan sempadan pilihan raya yang tidak mengikut perlembagaan yang mengakibatkan pembahagian tidak sekata yang teruk (malapportionment) dan persempadanan tidak adil (gerrymandering).

 

  1. Menipu rakyat Malaysia dalam Persempadanan Kali Ke-6 di Negeri-Negeri di Semenanjung dengan menerbitkan Cadangan Pertama yang penuh dengan pembahagian tidak sekata, gerrymandering dan sempadan yang ditandai secara perkauman, Cadangan Kedua pula elemen-elemen ini dikurangkan dengan banyak namun akhirnya menghasilkan Laporan Akhir seperti cadangan yang pertama tadi.

 

  1. Memusnahkan alamat pengundi dalam senarai pemilih mengakibatkan 15% pengundi direkodkan tanpa alamat. Di Selangor sahaja, ada 136,272 pengundi adalah tanpa alamat.

 

  1. Pengimplementasian sistem undi pos luar negara yang cacat pada PRU14 yang membuatkan pengundi luar negara hampir mustahil untuk menghantar pulang kertas undi mereka pada hari mengundi 9 Mei 2018.

 

  1. Keputusan untuk menetapkan PRU14 pada hari bekerja(Rabu) tanpa asas dan penjelasan, justeru mengakibatkan dan/atau mengurangkan jumlah keluar undi disamping menyebabkan kepayahan kepada pengundi yang bekerja luar kawasan atau luar negara.

 

  1. Keputusan untuk menetapkan tempoh minima berkempen kepada 11 hari tanpa asas dan penjelasan, justeru mengakibatkan dan/atau mengurangkan capaian pengundi oleh parti politik, terutama parti yang tiada akses kepada media saluran perdana, sekaligus menafikan tempoh pengundi untuk membuat keputusan yang bermaklumat.

 

  1. Keputusan untuk melarang pemerhati bertauliah untuk PRU14 oleh badan pemerhati pilihan raya yang bebas, termasuklah badan berperlembagaan seperti SUHAKAM, justeru telah mengakibatkan persoalan ketelusan dan akauntabiliti perjalanan PRU14.

 

  1. Keputusan untuk menutup pusat pengundian pada 5.00 petang dan/atau melarang pengundi yang sedang beratur di saluran pengundian untuk mengundi selepas 5.00pm semasa PRU14, walaupun menyedari aduan barisan yang panjang di saluran pengundian hasil daripada pengurusan yang tidak efisien dan menyebabkan ramai pengundi tidak dapat melaksanakan hak mereka untuk mengundi.

 

  1. Kegagalan dan/atau penangguhan yang tidak munasabah oleh ramai Ketua Tempat Mengundi (KTM) untuk menandatangani Borang 14 yang wajib ditandatangan selepas pengiraan undi semasa PRU14, menyebablan penangguhan pengumuman keputusan rasmi di beberapa kawasan pilihanraya.

 

  1. Kegagalan dan/atau penangguhan yang tidak munasabah untuk mengumumkan keputusan rasmi seluruh negara selepas 9.00pm pada 9 Mei 2018, bersambung hanya selepas pukul 1.00am pada 10 Mei 2018, boleh meletakkan negara dalam situasi bahaya tidak menentu yang menggalakkan spekulasi liar.

 

  1. Pendaftaran dan/atau pemindahan pengundi ke kawasan pilihanraya yang tidak didiami dan di mana mereka tidak layak pun untuk mengundi sebelum PRU14.

 

  1. Pendaftaran dan/atau pemindahan pengundi tentera ke kawasan pilihanraya marginal sebelum kem tersebut siap dengan niat untuk mengukuhkan undi kepada ahli politik BN semasa PRU14.

 

  1. Perubahan sempadan pilihan raya melalui belah bahagian yang tidak mengikut perlembagaan antara Disember 2015 ke April 2016 sebelum permulaan proses persempadanan semula.

 

Bersih 2.0 siap sedia untuk membantu panel RCI dan Peguam Negara untuk memberikan saksi pakar, saksi mata salah laku, bukti data dan bantuan lain yang diperlukan untuk membuktikan tuduhan serius kepada bekas Pesuruhjaya Pilihan Raya.  

 

Kepentingan RCI bagi Salah Laku Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lebih utama adalah melangkaui lebih jauh dari mengenalpasti dan menghukum mereka yang telah melakukan kesalahan, namun untuk membongkar kebenaran dengan tujuan mengenalpasti kelemahan dan keterbatasan di dalam sistem pilihan raya kita, supaya langkah-langkah dapat diambil untuk mereformasikan sistem ini dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pilihan raya kita, yang menjadi batu asas kepada demokrasi berparlimen kita. Tanpa pilihan raya bebas dan adil, keabsahan calon yang dilantik atau kerajaan akan dikurangkan. Kami dengan tegas menggesa Tun Mahathir untuk membentuk RCI tanpa tangguh lagi.

 

Satukan Tenaga, Malaysia Baru.

 

Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0