Kenyataan Bersama Bersih 2.0 and Suaram (14 Jun 2019): Kami Mengutuk Keganasan Polis dan Menggesa Penarikan Rang Undang-Undang Ekstradisi Di Hong Kong

 

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mengutuk keganasan Polis Hong Kong dalam perhimpunan aman yang sedang berlangsung bagi membantah pindaan undang-undang ekstradisi.

 

Berdasarkan laporan media dan dokumentasi video, dalam cubaan untuk menyuraikan himpunan aman tersebut, pihak polis telah menggunakan semburan pemedih mata dan cota, menembak gas pemedih mata serta peluru getah kepada peserta, yang telah menyebabkan kecederaan bukan sahaja peserta protes, malah juga wartawan.

 

Ordinan Undang-Undang Hak Hong Kong dan Undang-Undang Asasi Hong Kong menjamin hak warga Hong Kong untuk berhimpun secara aman. Apa yang dilakukan oleh polis pada 12 Jun bukan sahaja bercanggah dengan undang-undang tersebut malah ianya adalah satu penyalahgunaan kuasa yang ketara.

 

Semasa pemerintahan kerajaan sebelum ini, ramai rakyat Malaysia telah mengalami perkara yang sama; dikasari oleh pihak polis semasa perhimpunan Bersih dan perhimpunan aman yang lain. Kami ingin menyatakan rasa simpati dan solidariti kami bersama jutaan warga Hong Kong yang tekal memperjuangkan hak mereka. Kami juga menyeru kerajaan Hong Kong untuk menghormati hak untuk berhimpun secara aman dan mengekalkan ruang kebebasan dan demokratik di Hong Kong.

 

Kami juga menggesa kerajaan Hong Kong untuk memulakan siasatan bebas keatas pihak polis bagi mempertanggungjawabkan mereka terhadap keganasan yang mereka lakukan.

 

Kami juga dengan tegas menggesa kerajaan Hong Kong untuk mendengar suara rakyat dan menarik semula pindaan undang-undang ekstradisi tersebut. Pindaan tersebut akan mengakibatkan ekstradisi orang yang dituduh dengan pertuduhan jenayah di tanah besar China, di mana mereka berisiko untuk diseksa, dianiaya dan melalui perbicaraan yang tidak adil. Kerajaan Hong Kong harus mendukung kedaulatan undang-undang dan sebarang ekstradisi suspek jenayah mesti melalui penelitian hak asasi manusia seiring dengan piawaian antarabangsa.



Dikeluarkan oleh,

BERSIH 2.0 dan SUARAM

(Sumber gambar: Internet)