Kenyataan Media (25 Jun 2019): Waktu Pertanyaan Perdana Menteri Penting untuk Semak Imbang Kuasa Eksekutif

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil(Bersih 2.0) merujuk kepada kenyataan Menteri Undang-Undang Liew Vui Keong yang menyatakan tiada keperluan untuk Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Parlimen kerana Waktu Pertanyaan Menteri yang dijadualkan pada Selasa dan Khamis sudah memadai buat masa sekarang.

Kami ingin mengingatkan Menteri Undang-Undang bahawa Janji 16 Manifesto Pakatan Harapan memperuntukkan 30 minit untuk Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat setiap minggu, sebagai janji untuk mengembalikan maruah Parlimen. 

Walaupun Perdana Menteri boleh menggunakan Waktu Pertanyaan Menteri untuk mengambil soalan dan sedang pun menggunakan ruang tersebut, tidak ada jaminan bagi memastikan PM akan datang untuk melakukan perkara yang sama. Sebagai Ketua Eksekutif kabinet, PM sewajarnya bertanggungjawab secara langsung dan bercakap bagi kerajaan dalam waktu pertanyaan yang khusus terutamanya di bawah undang-undang kini di mana PM memegang terlalu banyak kuasa membuat keputusan.

Keutamaan kerajaan PH adalah untuk mengembalikan kebebasan dan kekuatan semua cabang kerajaan serta institusi awam supaya kita tidak lagi perlu mengulangi salah guna kuasa Perdana Menteri dan rasuah yang kita telah saksikan sebelum ini. 

Adanya Waktu Pertanyaan Perdana Menteri bukan sahaja dapat memberikan Ahli Parlimen menyoal PM isu-isu utama negara malah menjadi simbol Malaysia Baharu di mana kompetensi, kebertanggungjawaban dan ketelusan wujud sehingga ke peringkat tertinggi kerajaan. 

Kami menggesa Menteri Undang-Undang untuk mempertimbangkan semula keputusan beliau dan meminda Peraturan-Peraturan Majlis Dewan Rakyat untuk melaksanakan Waktu Pertanyaan Perdana Menteri sebagaimana yang dijanjikan di dalam Buku Harapan untuk menjadikan Parliment satu institusi yang kukuh bagi menyemak kuasa eksekutif.

Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0