Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil(Bersih 2.0) kecewa Perdana Menteri telah melantik lapan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) tanpa melibatkan Jawatankuasa Khas Parlimen Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Awam Utama untuk saringan terlebih dahulu. Perdana Menteri masih menurut undang-undang namun mengetepikan semangat serta janji Manifesto Pakatan Harapan(PH) yang secara jelas menyatakan dalam Janji 26; pelantikan Pesuruhjaya SUHAKAM akan dibuat melalui jawatankuasa khas parlimen.
Jawatankuasa Khas Parlimen Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Awam Utama telahpun dibentuk sejak bulan Disember 2019. Adalah menjadi perkara yang utama untuk memberi laluan kepada Jawatankuasa tersebut untuk memilih calon yang berpotensi walaupun proses tersebut tidak terkandung di dalam Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597). Proses tersebut akan menunjukkan komitmen PM kepada janji-janji manifesto bahkan juga menunjukkan rasa hormat kepada peranan Parlimen sebagai badan semak imbang yang berkesan kepada Eksekutif, terutamanya pejabat Perdana Menteri.
Bersih 2.0 menggesa PM dan kerajaan PH untuk mempercepatkan tanpa tangguh lagi pindaan legislatif yang perlu bagi proses melantik lantikan utama supaya kuasa yang terlalu banyak bersama PM dapat diimbangkan dengan berkesan bagi mengelakkan salah guna kuasa terus berlarutan. Kami ingin mencadangkan proses yang bukan sahaja melibatkan Jawatankuasa Khas Parlimen tetapi turut melibatkan Jawatankuasa Pelantikan yang terdiri daripada individu yang tidak terlibat dengan politik kepartian untuk membuka cadangan nama daripada orang awam dan membuat saringan pertama calon-calon yang berpotensi. Nama yang telah disenaraipendek akan diajukan kepada Jawankuasa Khas Parlimen untuk temuduga dalam sesi umum. Seterusnya nama yang disenaraipendek sekali lagi akan diserahkan kepada PM dan Kabinet untuk dipilih.
Bagi pelantikan pesuruhjaya SUHAKAM, Seksyen 5(2) Akta 597 harus dipinda untuk membolehkan Jawatankuasa Pemilihan terkini menyiarkan nama calon-calon agar anggota masyarakat dapat memberikan pandangan sebelum temuduga atau sebelum disenaraipendek bagi memastikan calon mempunyai integriti yang tinggi. Proses ini seharusnya telus dan calon yang disenaraipendek akan diajukan kepada Jawatankuasa Khas Parlimen untuk saringan seterusnya. Menjadi keperluan juga untuk mengetahui siapa di dalam Jawatankuasa Pemilihan ini dan bagaimana lantikan mereka dibuat. Jawatankuasa ini harus dari pelbagai latar belakang dan tidak dipenuhi oleh penjawat awam sahaja.
Sekali lagi, kami menekankan bahawa undang-undang masih dipatuhi dalam pelantikan Pesuruhjaya SUHAKAM tetapi kita perlu menambahbaik undang-undang bagi memasukkan proses yang mengiktiraf peranan penting Parlimen dan masyarakat dalam membentuk demokrasi berparlimen yang kukuh serta bebas yang tidak bergantung kepada niat baik atau kelakukan seseorang. Manusia cenderung terkhilaf dan oleh kerana itu kita perlukan institusi yang bebas bagi memastikan kebertanggungjawaban.
Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0