Kenyataan Media (28 Jun 2019): Penurunan Had Umur Mengundi ke 18 Tahun Iktiraf Golongan Anak Muda

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengalu-alukan pengumuman Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun bahawa usul menurunkan had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun akan dibentangkan pada 4 Julai dalam sidang Dewan Rakyat yang akan datang. Bagi Bersih 2.0 ini adalah berita yang baik kerana usul ini adalah antara cadangan kami sejak dari tahun 2008 lagi. 

Memandangkan usul merendahkan umur pengundi ini memerlukan pindaan Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan majoriti dua-pertiga, Bersih 2.0 menyeru semua parti di Dewan untuk menyokong usul dibawa kerana ini akan menunjukkan pengiktirafan daripada wakil rakyat bahawa anak muda di negara ini adalah penting dalam proses politik pilihan raya serta pandangan dan kehendak mereka mustahak untuk pembinaan negara. 

Sangat sedikit negara di dunia yang masih mengekalkan umur 21 untuk layak mengundi. Dengan menurunkan ke umur Malaysia akan menyertai banyak negara yang lain yang telah mengiktiraf umur 18 tahun sebagai umur di mana seseorang itu dianggap matang untuk berkahwin, memandu kereta dan dihukum jenayah sebagai dewasa. Oleh itu adalah pelik untuk menafikan mereka yang berumur 18 tahun hak untuk mengundi.

Kebimbangan terhadap kematangan dan kesedaran politik tidak seharusnya dihadkan kepada mereka yang berumur 18 sahaja kerana umur semata tidak menentukan tahap kematangan seseorang. Kebimbangan ini dapat ditangani dengan program pendidikan politik yang disasarkan kepada pengundi muda yang dijalankan oleh SPR, sekolah, gerakan sivil malah badan korporat.

Media juga wajar memainkan peranan yang besar untuk program pendidikan pengundi. Pendidikan sivik bagi peranan, tanggungjawab dan hak warganegara juga patut menjadi sebahagian daripada kurikulum pendidikan kebangsaan bermula bahkan daripada peringkat pendidikan rendah untuk meningkatkan tahap kesedaran sivik dan penyertaan anggota masyarakat. 

Sehingga daftar pemilih secara automatik dilaksanakan, cabaran penurunan had mengundi ke 18 tahun adalah, dianggarkan 3.5 juta pengundi muda yang bakal dimasukkan pada PRU15 sebagai tambahan kepada 4 juta pengundi yang layak namun masih belum berdaftar. 

Bersih 2.0 mencadangkan pelajar yang berumur 18 tahun dan ke atas diberikan borang daftar pemilih sebagai sebahagian daripada proses kemasukan mereka ke kolej. SPR juga harus meningkatkan bilangan Penolong Pendaftar Pemilih dan meneroka kaedah baru untuk menambahbaik proses ini bagi mengendalikan jumlah pengundi layak yang belum berdaftar yang besar. 

Sekali lagi, Bersih 2.0 mengalukan penurunan umur pengundi ke 18 tahun dan menyeru semua ahli parlimen pembangkang untuk mengenepikan fahaman politik masing-masing dan sokong usul ini untuk menghantar mesej yang jelas kepada generasi mada depan negara bahawa mereka sememangnya penting serta kita mengharapkan idealisme, semangat dan penyertaan mereka untuk membina Malaysia. 

Satukan Tenaga, Malaysia Baru!

Dikeluarkan oleh, 

Jawatankuasa Bersih 2.0