Kenyataan Media (9 Julai 2019): PH Tidak Komited Mansuh Akta Drakonian

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang telah menjatuhkan hukuman penjara selama setahun kepada pendakwah bebas Ustaz Wan Ji Wan Hussin di bawah Akta Hasutan 1948. Akta Hasutan adalah satu akta yang drakonian tinggalan penjajah yang bertujuan untuk mengekang kebebasan bersuara dan sering menjadi alat pemerintah untuk membungkam suara rakyat.

Pakatan Harapan dilihat tidak bersungguh-sungguh untuk menghapuskan Akta Hasutan ini dan menegakkan kebebasan bersuara sebagaimana termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Sebelum ini Lokman Nor Adam pernah ditahan serta disiasat di bawah Akta Hasutan dan mangsa terbaru akta zalim ini adalah Ustaz Wan Ji Wan Hussin.

Pakatan Harapan wajib untuk melihat semula janji manifesto mereka iaitu Janji 27 yang menyatakan; “Ada di antara undang-undang ini yang diwarisi sejak zaman penjajah British lagi, tanpa dipinda untuk menjadikannya lebih adil untuk rakyat sebuah negara merdeka” dan kemudiannya berjanji untuk menghapuskan Akta Hasutan 1948. 

Sudah tiba masanya untuk Pakatan Harapan mengotakan janji mereka untuk menghapuskan undang-undang zalim dan  lapuk ini serta memberi ruang kepada rakyat untuk bersuara.

Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0

(Sumber gambar: Internet)