Bersih 2.0 (Sabah) menyelar kenyataan Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony yang seolah-olah ingin mengawal gerakan masyarakat sivil daripada menyuarakan suara mereka membela komuniti yang terjejas dengan projek kerajaan.
Menurut laporan akhbar Borneo Post, Peter Anthony mengatakan bahawa gerakan masyarakat sivil seperti PACOS tidak seharusnya menghasut orang dan mematuhi undang-undang serta peraturan. Beliau juga menambah beliau akan mencadangkan akta untuk mengawal pergerakan NGO.
Kenyataan sebegini adalah memalukan dan tidak menggambarkan aspirasi rakyat menukar kerajaan terdahulu yang seringkali menutup serta membungkam suara rakyat. Gerakan masyarakat sivil terutamanya gerakan yang mewakili komuniti yang terkesan dengan projek mega kerajaan hanya menggemakan suara komuniti mereka memandangkan mereka yang akan menanggung kesan dan disesarkan daripada tapak-tapak projek yang dijalankan.
Selain itu, Peter Anthony wajib menghormati kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Rakyat di peringkat terbawah hanya mempunyai suara sebagai saluran untuk mengkritik dan menegur dasar serta polisi kerajaan yang tidak mengambil kira kepentingan komuniti dan rakyat terbanyak.
Kepentingan rakyat Sabah seringkali dikorbankan seperti kata pepatah “Harapkan pegar, pegar yang makan padi”. Kebebasan bersuara dan masyarakat sivil yang kuat boleh mengelakkan ini berulang. Kenyataan menteri menimbulkan persoalan: apakah ini untuk membela pegar yang harap dapat makan padi? Sekiranya tidak, kerajaan boleh menghadapi semakan dan pantauan masyarakat sivil dengan hati yang berani dan terbuka – jawab sebarang kesangsian rakyat dengan fakta dan logik, bukan takut sampai ingin senyapkan suara rakyat.
Rakyat Sabah mengubah kerajaan terdahulu dengan harapan demokrasi dan kebebasan bersuara lebih subur. Seharusnya sebagai seorang menteri lebih mendekati dan memahami tuntutan gerakan masyarakat sivil, bukannya mengugut untuk mengawal demi membungkamkan suara rakyat.
Dikeluarkan oleh,
Bersih 2.0 (Sabah)