Kenyataan media (16hb Julai 2019): Bersih 2.0 Dedah Laporan Persempadanan Sabah Dan Akan Bayar Denda Langgar Embargo Parlimen

Bersih 2.0 akan mendedahkan laporan persempadanan 2017 Sabah secara atas talian dan menawarkan untuk membayar denda RM1000 kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat kerana melanggar embargo Parlimen. Laporan tersebut dibentangkan pada 8 Julai dan dijadualkan untuk perbahasan serta undian pada 17 Julai(Rabu).

Bersih 2.0 melahirkan rasa kecewa bahawa seruan penarikan embargo yang dibuat oleh Bersih 2.0 telah diabaikan  dan ini menyebabkan orang ramai tidak sedar dengan kepentingan keputusan yang akan dibuat nanti kerana tidak ada media yang dapat melaporkan laporan tersebut.

Bersih 2.0 yakin bahawa orang ramai perlu dimaklumkan kandungan laporan tersebut sebelum ahli parlimen membuat undian. Justeru, kami tidak ada pilihan lain melainkan terpaksa melanggar Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 dengan mendedahkan keseluruhan laporan ini.

Bersih 2.0 menyeru semua media dan pengguna media sosial untuk kongsikan pautan ini yang memgandungi salinan imbasan laporan ini supaya ia boleh dimuat-turun:

https://drive.google.com/file/d/17yt4U1XminaBTQxSKFHKn2qRckknX1xt/view?usp=sharing

Bersih 2.0 telah memberi amaran sebelum ini bahawa laporan berusia dua tahun itu adalah jahat, rosak dan lapuk:

https://www.bersih.org/press-release-9-july-2019-2017-delimitation-proposal-for-sabah-obsolete-and-incompatible-with-lowering-of-voting-age-and-automatic-registration/

  • Kawasan parlimen terbesar P171 Sepanggar (55,294) adalah 2.22 kali ganda bilangan pengundi berbanding dengan kawasan terkecil, P183 Beluran (24,916)
  • Kawasan DUN N69 Sri Tanjong (25,104) mempunyai 4.58 kali ganda bilangan pengundi berbanding dengan kawasan DUN terkecil N01 Banggi (5,485). 
  • Pembahagian tidak sekata yang berlebihan ini akan bertambah buruk dengan penurunan umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran automatik dengan kemungkinan 300,000-400,000 pengundi baru dimasukkan kepada 1,117,337 pengundi yang sedia ada, dengan secara tidak seimbang di kawasan bandar.

Tindak Malaysia yang berkongsi pendirian yang sama dengan kami telah menyediakan analisis yang lebih terperinci dan boleh dirujuk di 

https://web.facebook.com/notes/tindakmalaysiacom/sabahs-13-new-seats-unfortunate-exercise-amidst-electoral-changes/2439334269458521/?_rdc=1&_rdr

Bersih 2.0 menekankan persempadanan adalah satu keperluan kepada Sabah dan negeri-negeri lain, justeru harus dimulakan sebaik sahaja penurunan umur mengundi dan pendaftaran automatik.

Bersih 2.0 menggesa juga Kerajaan Negeri Sabah untuk menyelesaikan masalah ini dengan berjanji untuk meminda  perlembagaan negeri bagi meningkatkan bilangan kerusi dengan satu atau lebih setelah adanya penambahan bilangan pengundi.

Bersih 2.0 mengulangi seruan kepada kerajaan persekutuan untuk membatalkan perbahasan dan pengundian esok serta menggesa kesemua ahli parlimen dari Sabah dan Labuan untuk mengundi menentang usul ini atau pun tidak mengundi sekiranya perbahasan diteruskan.

Bersih 2.0 berpendapat bahawa laungan ‘Malaysia Baharu’ adalah kosong sekiranya perkara yang maha penting disembunyikan daripada pengetahuan umum sebelum keputusan dibuat. Oleh itu Bersih 2.0 bersedia menanggung tanggungjawab untuk melanggar embargo. Wang berjumlah RM1,000, denda maksimum dibawah Akta Majlis Parlimen, akan dihantar ke pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini.

Bersih 2.0 seterusnya menggesa semua warga yang prihatin untuk menulis kepada ahli parlimen, e-mel mereka boleh didapati di sini:

 https://www.parlimen.gov.my/ahli-dewan.html?uweb=dr&, bagi menggesa mereka untuk undi menentang laporan persempadanan Sabah diluluskan ataupun langsung tidak mengundi.

Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0