Kenyataan Media (17 Julai 2019): Jadikan Sejarah Penurunan Had Umur Mengundi Permulaan Malaysia Baharu

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengucapkan tahniah kepada ahli Dewan Rakyat yang dengan sepenuh hati telah menyokong pindaan Perkara 119(1) dan 119(4) Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun dan membuka jalan kepada pendaftaran pengundi automatik pada masa yang sama. Sejarah tercipta semalam apabila buat pertama kali dalam sejarah negara kita kerjasama merentasi parti telah berjaya meminda perlembagaan yang memerlukan majoriti dua pertiga.

Bersih 2.0 gembira ahli parlimen daripada kedua-dua belah pihak menunjukkan perpaduan yang jarang sekali dibuat terhadap isu yang bakal memberikan kesan pilihan raya yang besar terhadap negara kita. Kami percaya penyertaan pengundi muda ke dalam proses memilih perwakilan politik akan menggalakkan mereka lebih lantang menyuarakan isu-isu yang memberi kesan kepada kehidupan dan juga isu-isu nasional. 

Bersih 2.0 juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan PH khususnya Menteri Belia dan Sukan YB Syed Saddiq Abdul Rahman yang membawa pindaan ini secara konsultatif, meraikan permintaan Pembangkang untuk pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan umur calon kepada 18 disertakan bersama. Ini adalah mesej yang jelas bahawa hari-hari menyondol untuk membuat undang-undang dan dasar telah tamat serta menjadikan libaturus dan membina konsensu sebagai jalan ke depan. 

Bersih 2.0 yakin harapan setiap rakyat Malaysia untuk setiap Ahli Parlimen akan senantiasa meletakkan kemaslahatan negara di tingkat teratas melebihi kepentingan partisan serta mereka akan sentiasa bekerjasama untuk membentuk dan meminda undang-undang yang akan melindungi hak rakyat dan mengukuhkan institusi awam yang berkhidmat untuk rakyat. 

Bersih 2.0 ingin menyorot beberapa isu utama yang memerlukan pindaan perlembagaan dan ini juga termasuk di dalam Buku Harapan, iaitu manifesto kerajaan Pakatan Harapan. Pembangkang harus mendesak kerajaan untuk menjamin reformasi ini. Antaranya adalah:

 

  1. Janji 17 manifesto PH menyatakan bahawa akan memastikan nisbah yang adil dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya dan mengumumkan secara telus kepada khalayak umum formula yang akan digunakan untuk menentukan bilangan pengundi serta saiz setiap kawasan pilihan raya. Skala pembahagian tidak sekata kawasan pilihan raya kini akan menjadi lebih teruk dengan penurunan umur mengundi dan pendaftaran pengundi automatic. Justeru, Laporan Persempadanan Sabah yang akan dibahaskan di Parlimen hari ini wajib ditarik balik atau ditolak kerana sekiranya lulus tidak akan ada lagi persempadanan untuk tempoh lapan tahun yang akan datang. Pindaan Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan untuk menukar bilangan kerusi kepada negeri di dalam Persekutuan untuk mencetuskan persempadanan yang sangat diperlukan bagi membetulkan semula pembahagian tidak sekata antara Persekutuan dan negeri. 



  1. Walaupun tidak ada dalam janji manifesto PH, ahli parlimen perlu mempertimbangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk membenarkan pelaksanaan sistem pilihan raya yang baru atau memperbaiki sistem FPTP agar keputusan pilihan raya kelak lebih mewakili dan inklusif serta menjadi cerminan kejamakan komuniti di Malaysia. 

 

  1. Penghadan tempoh menjadi PM kepada dua penggal dan menyingkirkan kuasa PM untuk memanipulasi institusi utama dengan membentuk mekanisme semak dan imbang yang kukuh. Kuasa PM yang boleh melantik jawatan penting secara bersendirian atau mengganggu proses pelantikan institusi awam utama seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Ketua Hakim, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Peguam Negara, Ketua Audit Negara dan Pengerusi SPRM harus dihadkan dan peranan Parlimen harus diangkat supaya dapat menjadi badan semak dan imbang yang berkesan kepada Eksekutif pimpinan Perdana Menteri. Pindaan Perkara 40, 114, 122, 145 dan undang-undang lain akan diperlukan untuk menjadikan peranan Parlimen di dalam proses pelantikan jawatan-jawatan utama. 

 

  1. Pisahkan Jabatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dengan meminda Perkara 145 dan 183 Perlembagaan persekutuan serta meminda definisi Pendakwa Raya dengan Akta Taksiran 1948 dam 1967. 

 

  1. Pastikan bilangan Senator yang dilantik oleh negeri adalah lebih banyak daripada lantikan kerajaan Persekutuan agar kepentingan negeri sentiasa dilindungi dengan meminda Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan.

 

  1. Kembalikan Hak Sabah dan Sarawak agar selari dengan Perjanjian Malaysia 1963 dengan meminda Perkara 2(1) kepada perkataan sebelum 1967 dan undang-undang lain yang akan mengangkat status dua wilayah ini selari dengan konsep federalisme yang dipersetujui dalam MA63.

 

Sekali lagi, 16 Julai 2019 akan menjadi titik penting dalam sejarah negara kita apabila politik dibelakangkan dan kepentingan negara menjadi lebih utama. Bersih 2.0 mengharapkan kerjasama rentas parti seperti ini akan menjadi norma baru dan undang-undang yang akan dipinda serta dibentuk kelak akan mengukuhkan demokrasi berparlimen serta institusi supaya impian Malaysia Baharu kita akan dicapai sepenuhnya

Satukan Tenaga, Malaysia Baru!

Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0