Pesanan Hari Merdeka daripada Bersih 2.0

BANGUNKAN DEMOKRASI YANG INKLUSIF DAN BERPANDANGAN JAUH

 Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menyeru semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang sosial untuk bersama-sama membentuk identiti Malaysia baharu bersempena sambutan Kemerdekaan ke-62 yang telah membuka jalan bagi pembentukan Malaysia. Kita perlu melihat lebih jauh daripada kaum dan meraikan kepelbagaian sebagai negara sekiranya ingin membina demokrasi yang inklusif, kuat dan jauh ke hadapan.

 Bersih 2.0 sebagai gerakan yang menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai ceruk bagi menjuarai pilihan raya bersih dan adil pada masa lalu, gusar dengan tekanan yang diberikan kepada keharmonian yang rapuh yang wujud antara pelbagai kaum di dalam negara baru-baru ini oleh pemimpin politik, agama dan pemimpin yang berpengaruh serta pengguna media sosial yang tidak bertanggungjawab melalui tindakan serta kenyataan mereka.

 Antara kejadian yang menunjukkan kerapuhan hubungan antara kaum di dalam negara ini termasuklah pengenalan Khat (Jawi) sebagai sebahagian kurikulum kebangsaan untuk pembelajaran Bahasa Melayu untuk Tahun 4 dan reaksi Dong Zong serta kumpulan pendidikan vernakular terhadapnya, pandangan kepada masyarakat India dan Cina oleh pendakwah kontroversi Zakir Naik, penegasan bahawa Melayu perlu menjadi bangsa yang dominan dalam negara oleh Mufti Perlis Mohd Asri Zainal Abidin dan kenyataan yang menghina tentera oleh taikun Koon Yew Yin dan hantaran Jalur Gemilang yang dihitamkan oleh taikun Lee Yim Kew. Polemik yang panas berlegar dengan isu ini telah membuat ramai hampa dengan identiti mereka sebagai rakyat Malaysia dan masa depan negara ini.

 Bersih 2.0 ingin mengingatkan semua bahawa dalam demokrasi semua orang boleh bebas memberikan pandangan tanpa perlu diperkecilkan dan dipertikaikan kesetiaan mereka kepada negara. Ketidaksetujuan dan pandangan yang berbeza adalah biasa dan seharusnya diperlukan dalam demokrasi. Perbezaan pandangan dan ideologi telah ditonjolkan oleh pelbagai parti politik yang kita ada, bahkan dalam kalangan kaum yang sama, dan sekali lagi adalah biasa dan sihat sekiranya mereka bersaing dengan beradab, jujur, dan intelektual.

 Wacana dan percanggahan pendapat perlu disempitkan kepada mereka yang melontarkan pandangan dan bukannya dikaitkan dengan kaum dan secara pukul rata untuk mencetuskan kebencian kaum yang akan membawa kepada permusuhan dan keganasan. Ahli politik dan individu yang oportunis yang suka mengeksploitasi ketakutan dan perasaan curiga antara satu sama lain perlu ditolak oleh rakyat Malaysia yang ingin hidup dengan aman dan harmoni. Malah dalam kes tertentu, tindakan yang berpatutan perlu diambil oleh pihak berkuasa untuk menghantar mesej bahawa menggalakkan kebencian, diskriminasi dan keganasan tidak boleh ditoleransi.

 Bersih 2.0 berpandangan bahawa salah satu sebab terjadinya politik identiti di negara ini adalah disumbangkan oleh jenis sistem pilihan raya yang digunakan dalam negara kita, dan dalam kes ini, sistem FPTP yang diwarisi daripada British. Sistem pilihan raya FPTP digabungkan dengan masyarakat berbilang bangsa menggalakkan mentality pemenang-dapat-semua dalam kalangan parti politik, yang menghaslkan wacana politik yang ekstrim dan memecahbelahkan.

 Sempena sambutan Hari Merdeka, kami menggesa kerajaan dan semua parti untuk mengangkat dialog kebangsaan untuk keluar dari sistem FPTP dan bergerak kepada sistem kerusi Perwakilan Berkadaran Bersenarai Parti(List-PR). Ini akan memastikan perwakilan parti di parlimen lebih luas dan menghapuskan keperluan mereka untuk memainkan isu perkauman untuk meraih undi.

 Kerusi List-PR juga dapat mengatasi pergaduhan dalam gabungan terhadap peruntukan kerusi yang sangat kerap di bawah FPTP dengan membenarkan parti komponen bersaing terbuka dan sihat sesama sendiri melalui undi parti, daripada menggunakan kaedah sabotaj dan jalan belakang. Bukan sahaja List-PR dapat memberikan kuota kepada wanita dan golongan tersisih, mandat terus kepada parti berbanding calon juga dapat mengukuhkan parti politik serta menghalang lompat parti.

 Dengan perubahan regim buat pertama kali pada tahun lepas, Malaysia mempunyai peluang yang jarang berlaku untuk memeriksa semula apa faktor struktural uang menyumbang kepada kekuatan dan kelemahan kita sebagai negara, dan untuk mengambil langkah yang berani bahkan radikan jika perlu bagi menyelesaikan beberapa isu struktur institusi yang telah menyumbangkan kepada peningkatan politik identiti yang mencarikkan masyarakat kita. Salah satu struktur ini adalah kaedah bagaimana kita memilih ahli politik dan kita perlu mempertimbangkan untuk mengangkat satu sistem yang mengurangkan keperluan penggunaan identiti politik dan sistem yang moderat, inklusif dan praktikal.

 Bersih 2.0 mengucapkan selamat Hari Merdeka kepada semua rakyat Malaysia dan semoga kita dapat mengambil semangat ini bukan sahaja untuk muhasabah cabaran yang sedang dihadapi oleh kita, namun juga untuk memikirkan peluang yang terhidang bagi membentuk identiti Malaysia baharu. Walaupun setiap daripada perlu menghargai sejarah sendiri, apa yang lebih penting adalah kita perlu memandang ke depan untuk membina demokrasi di mana kita semua boleh hidup bersama dengan harmoni dan berkongsi kemakmurannya.

 Malaysia Bersih, Sayangi Malaysiaku

 Dikeluarkan oleh:

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0